KPDNHEP Syor Syarikat Minyak Turun Harga Produk Petroleum

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mencadangkan kepada syarikat minyak mempertimbangkan penjualan produk petroleum di bawah harga ditetapkan kerajaan dan ini selaras dasar prinsip persaingan yang baik.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata jika syor berkenaan mendapat reaksi positif syarikat minyak, pihaknya akan memberi sokongan diperlukan.

Bagaimanapun, katanya, jika reaksi pasif diberikan, pihaknya akan mengadakan sesi libaturus supaya penerangan lebih terperinci mengenai syor ini dapat diberikan.

“Ada 3,500 stesen minyak dipelopori sekurang-kurangnya enam pemain besar, namun formula Mekanisme Harga Automatik (APM) dengan subsidi, menjadikan harga runcit RM2.08 bagi produk petrol RON95, jadi kerajaan sudah memainkan peranannya.

“Jika enam pemain utama mengikut saranan ini dan mengamalkan prinsip persaingan yang baik melalui inovasi, meningkatkan kecekapan dan memberikan fokus pada perniagaan asas iaitu menjual minyak, mereka tentu boleh membantu mengurangkan harga.

“Ini kali pertama dilontarkan cadangan ini, saya belum tahu reaksi mereka. Jadi, saya harap syarikat minyak boleh memberi maklum balas segera,” katanya kepada media selepas Simposium Persaingan Setara dan Kos Sara Hidup bertema ‘Seiring dan Sejalan’ di sini, hari ini.

Ditanya sama ada syarikat terbabit mampu bersaing menurunkan harga minyak, beliau berkata, persaingan boleh berlaku kerana perniagaan ini berdasarkan permintaan dan jualan tinggi dan bukannya margin.

“Jika berkenaan margin, mereka meminta kerajaan membuat semakan 12 tahun dulu, minta menaikkan margin pengusaha stesen minyak dan tahun lalu, kita naikkan 12 sen untuk petrol kepada 15 sen dan tujuh sen untuk diesel kepada 10 sen.

“Kerajaan sudah menunaikan tanggungjawab termasuk dari sudut pemberian subsidi, jadi apa pula langkah sepatutnya diambil syarikat minyak.

“Jadi, kita boleh tengok setiap hari, contohnya pergi ke stesen minyak Shell dengan harga RM2.06, pergi ke Petron dengan harga RM2.07 atau BHP RM2.04. Ini boleh berlaku jika inovasi dan kecekapan ditingkatkan,” katanya. – BH Online

Loading...