KPDNHEP Kelantan Sita 4,700 Selipar Tiruan RM47,000

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 4,700 pasang selipar tiruan bernilai RM47,000 dalam serbuan ke atas dua premis pemborong sekitar Kota Bharu semalam.

Timbalan Pengarahnya Firdus Zakaria berkata operasi berkenaan dilaksanakan hasil aduan pemilik cap dagangan jenama terbabit berhubung penjualan selipar tiruan jenama mereka.

“Operasi yang dijalankan mendapati dua premis tersebut membekalkan selipar jenama berkenaan yang disyaki tiruan kepada peniaga,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Firdus berkata siasatan mendapati bekalan selipar tiruan itu dipercayai diambil dari negara jiran melalui orang tengah yang kebanyakannya menggunakan jalan darat untuk pasaran di Kedah dan Kelantan.

Beliau berkata harga belian secara borong selipar tiruan itu bagi sedozen (12 pasang) sekitar RM45 manakala harga jualannya antara RM70 dan RM75 bagi setiap dozen.

Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang menggunakan perihal dagangan palsu atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan, katanya.

Sementara itu, Firdus berkata terdapat 28 kes melibatkan perihal dagangan palsu dengan nilai rampasan RM384,280. – BERNAMA

Loading...