KPDNHEP Jamin Bekalan Petrol, Diesel Cukup

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan petrol dan diesel sentiasa ada dan mencukupi untuk jualan harian di seluruh negara, kata Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Jamil Salleh.

Beliau menyangkal dakwaan yang menjangka kemungkinan pengguna berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel menjelang 1 Januari ini sambil berkata bahan api petrol dan diesel telah diwartakan sebagai barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak 21 Jun 1975.

“Oleh itu kerajaan akan memastikan bahawa pembekalan barang berjadual tersebut sentiasa ada di pasaran dan mudah diperolehi oleh pengguna pada setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia Datuk Abu Samah Bachik mendakwa pengguna dikhuatiri bakal berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel apabila semua tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari 2019.

Beliau dilaporkan berkata ia berpunca daripada keengganan pengusaha stesen minyak menambah simpanan dalam tangki menjelang penghujung bulan ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini menerusi kenyataan dilaporkan berkata kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum, termasuk RON95 kepada harga lebih rendah mulai 1 Januari ini.

Sehubungan itu, Jamil berkata sebagai pemegang lesen runcit petrol dan bahan api diesel di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, engusaha stesen diwajibkan mematuhi syarat-syarat di dalam lesen, antaranya bertanggungjawab memastikan bekalan petrol dan bahan api diesel di premis sentiasa ada dan cukup untuk jualan harian.

Syarat lain ialah pemegang lesen juga tidak dibenarkan menutup stesen petrol/bahan api diesel atau memberhentikan penjualan petrol / bahan api diesel di stesennya tanpa kebenaran,” katanya.

“Kegagalan pengusaha stesen untuk mematuhi arahan ini atau apa-apa syarat yang terkandung di dalam lesen runcit barang kawalan yang dikeluarkan merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1974.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, atau denda RM3 juta bagi kesalahan kedua dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” jelas beliau.

Justeru, Jamil menegaskan pegawai penguatkuasaan KPDNHEP akan membuat pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa ke atas stesen-stesen menjual bahan api bagi memastikan bekalan bahan api sentiasa mencukupi untuk kegunaan orang ramai.

Sekiranya pengguna mendapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang atau peraturan berkenaan, mereka boleh menyalurkan aduan kepada kementerian melalui portal e-aduan KPDNHEP (https://eaduan.kpdnkk.gov.my) atau emel aduan [email protected] atau melalui Aplikasi Ez ADU KPDNHEP (aplikasi telefon pintar) atau whatsapp ke 019- 279 4317. – BERNAMA

Loading...