Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

P.Pinang Akan Terus Benarkan...

GEORGE TOWN - Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini diberitahu kerajaan...

PM Najib Naiki Kereta...

TIANJIN - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan lawatan...

NGO R Gesa Royalti...

KOTA BHARU - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu membuktikan keseriusan dalam menyelesaikan isu...

Pasukan SWAT SFC Tumpaskan...

KUCHING - Seekor buaya dewasa berukuran 14 kaki panjang ditumpaskan di perairan Teluk...

Kos Sara Hidup Meningkat Bukan Fenomena Di Malaysia

KUALA LUMPUR – Kumpulan pengguna bersetuju bahawa peningkatan kos sara hidup yang menjadi kebimbangan utama majoriti rakyat, terutama mereka dalam kumpulan B40 dan M40, tidak harus dilihat sebagai fenomena yang hanya berlaku di Malaysia.

Mereka bersetuju ia merupakan fenomena global mencabar yang turut dihadapi oleh negara-negara lain di seluruh dunia.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata: “Adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan semata-mata atas kenaikan kos sara hidup dan mencanangkan perkara itu kerana banyak negara di rantau ini dan di seluruh dunia turut menghadapi masalah sama.

“Yang membezakannya adalah kadar kenaikan kos sara hidup ini di negara-negara berkenaan. Di beberapa negara ia melambung naik sementara di negara lain kos meningkat secara konsisten,” katanya kepada Bernama.

George berkata pada persidangan antarabangsa di Korea Selatan baru-baru ini, rakan seangkatan beliau turut menyuarakan kebimbangan mereka terhadap isu itu, dengan sesetengah mereka berkata kos sara hidup di negara mereka mencanak naik 40 hingga 50 peratus.

Perangkaan terbaru Jabatan Perangkaan menunjukkan terdapat kenaikan keseluruhan dalam Indeks Harga Pengguna (CPI), pada kadar 3.7 peratus kepada 119.9 pada Ogos daripada 115.6 dalam bulan yang sama tahun sebelumnya.

Antara peningkatan yang direkodkan ialah indeks bagi pengangkutan (+11.7 peratus), makanan dan minuman bukan beralkohol (+4.3 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.4 peratus) ).

Indeks itu kemudiannya meningkat 4.3 peratus pada September, dipengaruhi harga bahan api dan makanan yang dijangkakan meningkat sederhana dalam beberapa bulan akan datang.

Presiden Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason berkata keadaan menjadi bertambah buruk memandangkan Malaysia mengimport banyak produk makanan dan keperluan untuk memenuhi permintaan.

Beliau mengakui bahawa harga bahan makan import turut dipengaruhi kadar tukaran dagangan dan bekalan barang dari negara sumber.

“Malaysia bukannya negara pengeluar makanan dan perlu mengimport pada dasarnya setiap jenis makanan, daripada beras hingga bawang merah dan sayur-sayuran dan juga daging serta ikan,” katanya, sambil menambah bahawa kekurangan bekalan disebabkan, sebagai contoh, malapetaka di negara sumber juga akan menaikkan harga.

Bagaimanapun, Marimuthu berkata tidak dapat dinafikan bahawa pengguna sendiri tidak mempunyai pemahaman tentang banyak isu dan ini mengakibatkan jangkaan tidak realistik yang membawa kepada kekecewaan dan kemarahan apabila jangkaan itu tidak dipenuhi.


“Ramai pengguna tidak faham mengenai harga – mereka percaya bahawa kerajaan memainkan peranan penting dalam penentuan harga di pasaran. Mereka juga kurang memahami peranan pengguna sendiri dalam menghadapi situasi semasa.

“Pengguna sering menyalahkan kerajaan apabila harga naik; tidak memahami bahawa harga barang dan perkhidmatan ditentukan dengan ketara oleh pasaran,” katanya.

Marimuthu berkata untuk menghadapi masa yang mencabar ini, pengguna perlu memahami cara kerja pasaran; bagaimana pasaran berfungsi, bagaimana harga ditentukan dan batasan peranan kerajaan dalam menentukan harga pasaran.

Beliau berkata pengguna juga perlu sedar bahawa mereka bukannya tidak berdaya atau mangsa pasaran kerana mereka boleh membuat pilihan dalam menguruskan penggunaan dan perbelanjaan mereka.

“Melalui corak pembelian mereka, sekurang-kurangnya mereka boleh mempengaruhi pasaran,” katanya.

Sementara itu, George juga mencadangkan bahawa sudah tiba masanya bagi kerajaan membentuk pasukan petugas khas yang terdiri daripada semua pihak berkepentingan untuk memeriksa dan menangani isu itu secara holistik.

Beliau berkata ini termasuk mengkaji keseluruhan rangkaian pengedaran dan menghalang pihak yang tidak berkaitan seperti orang tengah dan pembekal perkhidmatan pihak ketiga yang hanya akan meningkatkan harga produk dan membebankan pengguna akhir.

Beliau turut mencadangkan agar orang ramai belajar untuk merangka bajet sendiri berdasarkan pendapatan mereka dan mengamalkannya.

“Anda bajet untuk perkara-perkara penting dan juga untuk hal-hal yang tidak penting, dengan cara itu, anda boleh mengurus dan mengawal perbelanjaan anda,” katanya. – BERNAMA

Kategori