Kos Haji Dijangka Naik Sekurang-Kurangnya RM25,000

KUALA LUMPUR – Kos bagi pelaksanaan ibadah haji dijangka meningkat sekurang-kurangnya sebanyak sembilan peratus berikutan peningkatan Cukai Nilai Tambah (VAT) yang dikenakan Arab Saudi berkuat kuasa Julai tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, peningkatan itu belum lagi mengambil kira kos-kos tertentu melibatkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu kesan daripada pandemik Covid-19.

Justeru katanya, SOP baharu nanti dijangka memberi impak terhadap pertambahan kos bagi ibadah haji.

“Kos bagi ibadah haji bagi 2019/2020 adalah sebanyak RM22,900 bagi setiap jemaah. Dengan kenaikan 15 peratus VAT, kita jangka kos meningkat kepada RM25,000.

“Bagaimanapun sehingga kini TH belum menerima sebarang kepastian mengenai ibadah haji tahun ini. TH menjangkakan SOP dan protokol musim haji yang ketat akan dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Jadi sebarang pertambahan kos melibatkan perkhidmatan atau cara pengendalian baru belum dapat dijangkakan buat masa ini,” katanya pada sidang media di Menara TH, pada Jumaat.

Ditanya sama jemaah perlu menanggung bayaran peningkatan kos tersebut, beliau berkata, perkara itu belum diputuskan berikutan tiada perincian SOP yang diterima daripada Arab Saudi setakat ini.

“Oleh sebab belum ada kata putus, kita belum tetapkan lagi (ditanggung atau tidak). Apabila sudah ada (SOP) kita akan umumkan bayaran haji,” jelas beliau.

Untuk rekod, sejak 2009 bayaran bagi jemaah haji muassasah TH yang menunaikan haji kali pertama adalah sebanyak RM9,980 di mana kos selebihnya ditanggung subsidi kerajaan. – Sinar Harian