Kos Besar SK Ulu Segan, SK Maludam Libat Banyak Faktor

KUCHING – Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak hari ini menjelaskan kos besar pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Segan di Bintulu dan SK Maludam, Betong yang berjumlah RM88.42 juta disebabkan pembinaan asrama, lokasi serta struktur tanah.

Selain itu, Menteri Mudanya Dr Anuar Rapaee berkata perancangan rapi turut dibuat sebelum projek dilaksanakan bagi mengambil kira pembangunan pada masa depan.

Kos baik pulih atau bina semula sekolah tidak ada kaitan dengan jumlah murid, sebaliknya bergantung kepada faktor-faktor lain termasuk kemudahan dan keadaan tanah tapak projek, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau mengulas isu yang dibangkitkan Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak Chong Chieng Jen di Dewan Undangan Negeri semalam berhubung kos RM40 juta untuk pembinaan semula SK Ulu Segan yang hanya mempunyai 235 murid.

Isnin lepas, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan separuh daripada kos pembinaan semula dua sekolah tersebut di lokasi baharu diperuntukkan dalam bajet negeri bagi 2019. – BERNAMA

Loading...