Kor Ming Tak Minta Nama Diabadi Di Bangunan Sekolah

IPOH – Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming membidas tindakan segelintir pihak yang cuba menjadikan nama bangunan di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Simpang, Taiping sebagai isu politik.

Beliau berkata, perkara itu tidak wajar dibesar-besarkan terutama apabila masalah utama sekolah terbabit sudah dapat diselesaikan dengan baik.

Menurutnya, bangunan sekolah itu sudah siap sejak tiga tahun lalu, namun tidak boleh digunakan kerana belum menerima sijil layak menduduki (CCC).

“Sebaik kita menjadi kerajaan, saya selaku wakil rakyat di situ (ADUN Aulong) usaha bantu dapatkan CCC, setelah diperolehi, kita cuba dapatkan dana pula untuk kelengkapan sekolah.

“Hasil mesyuarat dan turun naik Putrajaya, akhirnya kerajaan meluluskan bantuan geran sebanyak RM220,000 dan wang inilah digunakan untuk membeli segala peralatan seperti kerusi, meja dan kipas,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa DAP Perak bersama media hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu dibangkitkan Ketua Biro Bahasa Malaysia MCA Perak, Cally Ting menerusi satu klip video yang dimuat naik dalam Facebook miliknya, 21 Mei lalu.

Klip video berdurasi 2 minit 21 saat itu mempersoalkan kewajaran pihak sekolah menamakan bangunan itu dengan nama Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, penamaan bangunan itu dibuat bukan atas arahan atau permintaannya sebaliknya persetujuan Lembaga Pengelola sekolah itu sendiri.

“Budaya Malaysia orang berbudi, kita berbahasa, kalau pihak sekolah sendiri mahukan begitu, tak kan saya kata tidak boleh.

“Sepatutnya bila ada sekolah bermasalah, kita bantu, bukan cuba mereka isu hingga mencemarkan nama sekolah, jadi tak kisahlah apa juga tafsiran orang, saya tetap akan terus bantu mana-mana sekolah yang memerlukan,” katanya.

Beliau juga menegaskan, menamakan bangunan sekolah dengan nama wakil rakyat bukan perkara baru kerana ia sudah jadi amalan sejak pentadbiran terdahulu.

Menyebut beberapa contoh seperti Dewan Tun Dr. Ling Liong Sik Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampar katanya, ia juga dibina dengan peruntukan kerajaan. – Sinar Harian

Loading...