Kor Ming Enggan Sahkan Buat Laporan Polis

IPOH – Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming enggan mengesahkan sama ada beliau akan membuat laporan polis berhubung hantaran kontroversi berkaitan isu penghinaan terhadap Sultan Selangor membabitkan tanda jalan, dimuat naik dalam Facebook Nga Kor Ming Super Fans yang didakwa fitnah.

Kor Ming sebaliknya berkata, tindakan undang-undang akan disusuli dan pihaknya akan ‘melakukan apa yang patut dibuat’.

Ditanya beberapa kali bagi mengesahkan bahawa laporan polis itu belum dibuat, Kor Ming yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat sekadar menjawab ringkas ‘akan dimaklumkan’ dan ‘coming soon’ (akan datang).

Sekali lagi, Kor Ming ketika diajukan soalan mengenai gesaan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad supaya beliau turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendedahkan siapa pemilik akaun Facebook tersebut bagaimanapun mengucapkan terima kasih atas keprihatinan itu.

“Kita akan mengambil semua tindakan bersesuaian. Pasukan perundangan saya sedang menguruskannya. Terima kasih banyak-banyak atas keprihatinan mereka,” katanya.

Kor Ming berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan cek berjumlah RM620,000 oleh The Community Chest kepada 13 buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dalam daerah Kinta yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching di SJKC Bercham di sini hari ini.

Semalam, Saarani dalam satu kenyataan berkata, Kor Ming tidak perlu melatah dengan isu berkenaan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan beliau, justeru menasihati Ahli Parlimen Teluk Intan itu untuk segera membuat laporan polis bagi membersihkan namanya selain SKMM.

Menurut Saarani, satu tindakan tegas hendaklah diambil kerana laman Facebook tersebut bukan kali pertama membuat kenyataan kontroversi dan menimbulkan elemen kebencian serta mengaitkan Kor Ming.

Tambah Saarani, Kor Ming yang seringkali menampakkan dirinya sebagai mangsa fitnah dan tipu daya, justeru harus membuktikan ‘kesucian’ beliau. – UTUSAN ONLINE

Loading...