Konvo MGBNS Medium Kongsi Bermanfaat

TAWAU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau menyokong penganjuran konvensyen profesional oleh Majlis Guru Besar Negeri Sabah (MGBNS) yang disifatkannya antara medium perkongsian bermanfaat.

Beliau berkata selain menjadikan pemimpin organisasi peka terhadap perkembangan dunia pendidikan, guru besar dapat menjadikan platform itu untuk menimba sebanyak ilmu dan pengalaman untuk dikongsi dan dibawa balik ke sekolah masing-masing.

“Saya percaya, melalui persidangan ini, hasil perkongsian pendapat dan saranan akan dapat memberikan motivasi terbaik dalam era pendidikan Malaysia baharu,” katanya pada majlis penutupan Konvensyen Profesional dan Persidangan Agung MGBNS di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob.

Mohd ​​​​​​​Shafie juga berkata guru besar atau pemimpin sekolah adalah penentu kejayaan dasar transformasi pendidikan negara dan dengan itu perlu mewujudkan golongan pendidik yang berkualiti serta melahirkan insan berilmu.

“Sebagai pemimpin sama ada di peringkat jabatan atau sekolah, carilah pendekatan bagi meningkatkan kecemerlangan dalam semua aspek pengurusan pendidikan,” katanya. – BERNAMA