Konvensyen PKR Sarawak Tetap Diteruskan Tanpa Azmin

KUALA LUMPUR – Konvensyen Keadilan Negeri Sarawak tetap diteruskan walaupun ada suara mendakwa ia membelakangkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Itu tegas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Seperti yang dinyatakan oleh Ketua AMK Akmal Nasir, keputusan ini telah diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK yang berlangsung pada 20 Oktober 2019.

“Dakwaan kejadian ini telah mencemarkan semangat demokratik dalam Keadilan adalah tidak benar memandangkan keputusan ini diambil melalui mesyuarat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Nazmi juga Pengarah Konvensyen-Konvensyen Negeri keadilan dan Ketua Setiausaha Pengelola Keadilan.

Mengulas kenyataan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sarawak yang mendakwa menjemput Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merasmikan Kongres Nasional AMK dikatakan telah membelakangkan Mohamed Azmin selaku Timbalan Presiden PKR yang sebelum ini sudah menjadi satu tradisi, Nazmi menuding jari kepada Mohamed Azmin.

Menurut Nik Nazmi, kelewatan Mohamed Azmin dalam memberikan respons setelah diberi masa enam minggu (surat jemputan bertarikh 11 September 2019) untuk mengesahkan kehadiran turut menjadi faktor penukaran perasmi berlaku.

“Kegagalan Azmin untuk menghadiri satu pun mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat Keadilan menjadikan situasi ini semakin buruk. Dalam sebuah parti demokratik, menghadiri mesyuarat amat penting,” katanya lagi.

Berhubung dengan Konvensyen Keadilan Sarawak, pihaknya telah mengadakan perbincangan yang panjang sejak September lepas bersama-sama MPN Sarawak dengan perbincangan terakhir pada semalam 14 November 2019.

“Seharusnya jika pihak MPN Sarawak percaya dengan semangat demokratik Keadilan, mereka tidak sewenang-wenangnya berhajat untuk membatalkan Konvensyen Negeri Sarawak yang telah dibincangkan dan diputuskan bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Loading...