Konvensyen PKR Sarawak Dilangsungkan Tanpa Baru Bian

MIRI – Konvensyen PKR Sarawak tetap dilangsungkan di Hotel Pullman Waterfront Miri, di sini hari ini, dengan majlis perasmiannya disempurnakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketibaan Anwar disambut oleh Pengerusi PKR Miri, Dr. Micheal Teo Yu Keng dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu, namun Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian tidak kelihatan.

Lebih 1,000 ahli menghadiri konvensyen berkenaan yang turut diadakan bagi meraikan Sambutan Ulangtahun Ke-20 PKR, selain melancarkan jentera parti itu menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

Pada 18 November lalu, Majlis Pimpinan PKR Sarawak mengambil keputusan membatalkan konvensyen itu berikutan rasa tidak puas hati dengan cara kepemimpinan parti menyelesaikan isu jemputan perasmian Kongres Nasional parti Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Isu itu menjadi menjadi kontroversi susulan pembatalan jemputan kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, seterusnya digantikan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam satu kenyataannya sebelum ini memaklumkan keputusan mengadakan konvensyen negeri-negeri sudah diputuskan dalam mesyuarat MPP dan Biro Politik PKR.

Malah, katanya, semua negeri sudah diberikan jadual dan pelaksanaannya adalah perlu mengikut jadual. – BH Online

Loading...