Konvensyen DAP P.Pinang 2015 Dicemari Demonstrasi Bantah Lim

GEORGE TOWN – Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2015 hari ini dicemari oleh sekumpulan 20 lelaki yang membuat demonstrasi di hadapan sebuah hotel di Bukit Jambul di sini tempat konvensyen itu sedang berlangsung.

Kumpulan itu yang memberi sokongan kepada Pengerusi DAP Negeri Chow Kon Yeow supaya menggantikan jawatan Ketua Menteri yang disandang Setiausaha Agung parti Lim Guan Eng, telah berkumpul seawal 9 pagi.

Difahamkan, mereka hanya berkumpul kurang dari lima minit dengan memegang sepanduk yang menyokong Chow antaranya bertulis ‘Chow Kon Yeow Chief Minister of Penang, We Want You’, ‘Anak Negeri Pulau Pinang Sokong Chow Kon Yeow Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang’ dan ‘Lim Guan Eng Balik Melaka.’

Kumpulan yang sama dipercayai berkumpul di Kompleks Tun Razak petang semalam untuk memberi sokongan kepada Chow dan membantah kepimpinan Lim.

Bagaimanapun, Chow dalam ucapan konvensyen hari ini menyatakan sokongan parti DAP kepada Lim sebagai Ketua Menteri yang memimpin Pulau Pinang sejak 2008. – BERNAMA