Kontraktor Binaan Maut Ditembak Di Tempat Parkir

GEORGE TOWN – Seorang kontraktor binaan maut ditembak lelaki tidak dikenali ketika sedang berbual dengan rakan-rakannya di tempat parkir kenderaan flat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Jalan Sungai Pinang, George Town malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, Mohammad Nazrulhisyam Mohamed Meera, 27, berbual dengan enam rakannya sebelum sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC yang dinaiki dua lelaki berhenti berdekatan mereka.

“Pembonceng belakang turun dari motosikal tersebut dan melepaskan tembakan ke arah mangsa yang terkena pada bahagian kepala dan badan.

“Akibat tembakan itu, mangsa rebah dan terbaring namun suspek masih melepaskan beberapa tembakan lagi ke arah mangsa sebelum mereka melarikan diri dengan motosikal,” katanya.

Menurut Che Zaimani rakan-rakan mangsa menghubungi polis selepas kejadian itu dan semasa suspek melepaskan tembakan pertama, mereka telah lari menyelamatkan diri kerana bimbang turut ditembak.

Katanya mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang dengan ambulans dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira 12.45 tengah malam berikutan kecederaan parah akibat tembakan.

Menurut saksi katanya suspek memakai pakaian serba hitam dan memakai helmet warna hitam dengan visor penuh, melepaskan sekurang-kurangnya lima das tembakan ke arah mangsa.

“Jarak antara lelaki yang melepaskan tembakan semasa menembak mangsa adalah lebih kurang tiga meter dan pemeriksaan doktor mendapati terdapat lima kesan tembakan di badan mangsa,” katanya.

Siasatan polis kata Che Zaimani mendapati lelaki ditembak itu mempunyai tiga rekod jenayah dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Katanya polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu agar tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Beliau berkata polis kini sedang memburu dua lelaki yang terlibat dalam kejadian tembakan itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BERNAMA

Loading...