Kontrak Monorel Scomi, Larsen & Toubro Di Mumbai Ditamatkan

KUALA LUMPUR – Kontrak Scomi Engineering Bhd dan Larsen & Toubro Ltd untuk reka bentuk, pembangunan, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan sistem monorel di wilayah Metropolitan Mumbai telah ditamatkan.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Scomi berkata surat penamatan itu bertarikh 14 Disember 2018 dan akan berkuat kuasa 15 hari daripada tarikh tersebut.

“Syarikat sedang berbincang dengan rakan konsortiumnya dengan tujuan untuk menguatkuasakan hak konsortium sepenuhnya di bawah kontrak berkenaan berkaitan notis penamatan, termasuk mengambil semua tindakan undang-undang yang diperlukan atas nasihat peguamnya,” katanya.

Scomi juga berkata, impak kewangan daripada penamatan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019 bergantung kepada hasil tindakan undang-undang.

“Syarikat itu akan terus memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa mengenai sebarang perkembangan penting berkaitan perkara ini,” tambahnya. – BERNAMA

Loading...