Konsesi Tol Tamat 2038, Bukan Tahun Depan – PLUS

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) menjelaskan berdasarkan perjanjian konsesi yang disemak semula pada 2011, kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2038 dan bukan 2018.

Dalam satu kenyataan hari ini, PLUS berkata pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2018 semalam, bermakna pemansuhan kutipan tol berkuat kuasa 1 Januari 2018 di plaza tol Batu Tiga dan Sungai Rasau itu ditamatkan 20 tahun lebih awal daripada perjanjian konsesi berkenaan.

“Perjanjian konsesi 2011 yang distruktur semula berikutan penswastaan PLUS pada tahun sama, menyaksikan kutipan di semua plaza tol milik PLUS, termasuk Batu Tiga dan Sungai Rasau, diselaraskan.

“Selain itu, tiada sebarang kenaikan kadar tol dilaksanakan, sama ada oleh kerajaan dan/atau PLUS di semua lebuh raya milik syarikat ini sejak 2005,” katanya.

Terdapat persoalan mengenai pampasan yang perlu dibayar kepada PLUS dengan pemansuhan kutipan tol di 3 lokasi termasuk di Bukit Kayu Hitam, Kedah serta Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Johor, katanya.

“Memandangkan perbincangan sedang berlangsung ketika ini, kami akan membuat pengumuman selepas mendapat maklumat daripada kerajaan,” kata PLUS. – FMT

Loading...