Konsep Pematuhan Kendiri Diperluas Semua Industri

KOTA TINGGI – Kementerian Sumber Manusia menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan memperluaskan konsep pematuhan kendiri melibatkan semua industri dalam negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata pelaksanaan itu bertujuan mengurangkan kebergantungan penguatkuasaan dalam aspek keselamatan dan kesihatan yang dijalankan JKKP selama ini.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) berkata pematuhan kendiri itu selari dengan prinsip dan falsafah di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan 1994 iaitu tanggungjawab utama untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terletak pada mereka yang mewujudkan risiko di tempat kerja dan mereka yang bekerja dengan risiko itu.

“Selama ini penguatkuasaan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan terletak di bawah JKKP, namun kita mahu pihak majikan membentuk sistem kawalan pengurusan berdasarkan konsep pematuhan kendiri sebagaimana yang dilaksanakan oleh Petronas di Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petroki­mia (RAPID) di Pengerang ini.

“Kementerian berhasrat memperluaskan konsep pematuhan kendiri ini kepada semua industri sekali gus mengurangkan beban tanggungjawab dan kos penguatkuasaan yang ditanggung oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Pengerang, dekat sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata JKKP akan tetap menjalankan penguatkuasaan seperti biasa secara berkala walaupun konsep pematuhan kendiri itu akan dilaksanakan oleh semua majikan.

Merujuk kepada lawatan hari ini Mahfuz berkata beliau puas hati dengan tahap pematuhan kendiri dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang dilaksanakan Petronas bagi projek berkenaan dan berharap ia dapat menjadi peneraju dan contoh bagi semua pihak.

Beliau seterunya menggalakkan pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat sijil, diploma dan ijazah dalam bidang keselamatan dan kesihatan kerana ia menjamin peluang pekerjaan yang cerah pada masa hadapan. – BERNAMA

Loading...