Konsep Bangsa Johor Bukan Baharu – Jumaah Majlis Diraja

JOHOR BAHRU – Konsep Bangsa Johor bukan berniat memecahbelahkan rakyat sebaliknya ia bertujuan menyatu padu pelbagai kaum di Johor, kata Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.

Beliau berkata, konsep berkenaan sudah diperkenal sejak pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim pada tahun 1920 dan diamalkan sehingga hari ini.

“Ramai yang tidak faham apa itu Bangsa Johor. Oleh sebab kurang faham, pelbagai pihak menyatakan kenapa Johor sangat istimewa sehingga adanya satu bangsa yang sepatutnya rakyat Malaysia dan bukannya bangsa Johor.

“Sebenarnya ini bukan konsep moden malah dicipta Almarhum Sultan Ibrahim sejak tahun 1920 lagi. Ini konsep dan institusi sebagai satu simbol untuk menguatkan perpaduan Johor.

“Ia bukannya mencipta satu bangsa lain atau memecahkan perpaduan rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita di pejabat Jabatan Diraja Johor, di sini Khamis.

Sehubungan itu, katanya semua pihak perlu mempelajari dan memahami sejarah pemerintahan Kesultanan Johor sejak dahulu sehingga Kesultanan Johor moden sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung Bangsa Johor.

Abdul Rahim berkata, sekiranya ada yang berpandangan bahawa Johor hendak menubuhkan satu bangsa sendiri mahupun bertindak keluar dari Malaysia, maka, ternyata pandangan terbabit adalah salah.

johor1

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu orang ramai terus keliru sehingga mengatakan Bangsa Johor mengutamakan bangsa sendiri berbanding semangat perpaduan Malaysia.

Katanya, Kesultanan Johor pada masa dahulu telah mencipta ‘Johor Darul Ta’zim’ untuk pembangunan Johor yang diusahakan semua bangsa di negeri itu.

“Almarhum Sultan Abu Bakar pula menjemput pelbagai bangsa asing termasuk dari China, India, kepulauan Jawa dan negeri-negeri lain untuk bermastautin di Johor dan kemudian mencipta ‘Muafakat Itu Berkat’ supaya rakyat bersatu.

“Sultan Ibrahim kemudian mencipta ‘Johor Mesti Jadi Johor’ sebab tidak mahu rakyat berpisah dan kemudian mencipta ‘Bangsa Johor’ pada 1920 supaya hidup muafakat dan kemajuan dapat dicapai secara berterusan,” katanya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ketika ditanya pendapatnya mengenai konsep kenegerian pada Siri Wacana Perdana Ke-20 di Yayasan Kepimpinan Perdana berkata secara umumnya perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia boleh runtuh jika perkara itu diberi penekanan. – Bernama

Loading...