Komuniti Statistik Perlu Rangkul Revolusi Digital – Azmin

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyeru komuniti statistik untuk merangkul potensi revolusi digital dan menggunakan peluang sepenuhnya bagi mengukuh dan menambah baik sistem statistik negara.

Beliau berkata, komuniti statistik perlu menyesuaikan diri dengan budaya yang didorong data dan merangkul evolusi sains data.

“Sumber data yang lebih baik, kaedah statistik yang kukuh, teknologi baru dan sistem statistik yang kukuh membolehkan keputusan lebih baik yang akan menghasilkan kehidupan lebih baik bagi kita semua,” katanya dalam ucaptama di Persidangan Statistik Malaysia (MyStats 2018) Keenam di sini, hari ini.

Ucapannya dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen.

Azmin berkata, data merupakan nadi pembuat keputusan dan bahan mentah untuk akauntabiliti dan statistik rasmi membantu pembuat keputusan membangunkan pelbagai dasar yang akan memberi kesan kepada kehidupan berjuta penduduk.

“Statistik mesti memenuhi keperluan kerajaan untuk pentadbiran dan pengurusan yang cekap serta untuk membuat dasar jangka panjang.

“Mereka juga mesti memenuhi keperluan rakyat untuk memantau aktiviti kerajaan dan perubahan kepada kesejahteraan awam,” katanya.

Azmin menambah bahawa negara memerlukan saintis data untuk menganalisis dan mengumpul data daripada pelbagai sumber untuk memanfaatkan pandangan dan ramalan berharga.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menyatakan bahawa negara memerlukan 15,000 saintis data dan pakar data besar menjelang 2020.

“Untuk menampung keperluan profesional sains data, banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia mengambil langkah ke hadapan dengan menyerap analitik dan menaik taraf sukatan pelajaran mereka untuk menghasilkan saintis data bagi memenuhi keperluan masa depan ini,” katanya.

Mohd Uzir berkata, sains data adalah proses mencari, membangun dan menyampaikan maklumat yang boleh diambil tindakan yang berpunca daripada pelbagai sumber, manakala analisis data mengkaji sejumlah besar data untuk mendedahkan corak tersembunyi, korelasi dan pandangan lain.

“Dengan teknik pengiraan yang lebih pantas dan pembelajaran mesin, kini wujud kemungkinan untuk menganalisis apa yang kami tidak pasti dan apa sahaja yang hilang yang membolehkan pengguna mencari jurang dalam maklumat yang ada,” katanya.

Ketua perangkawan itu berkata, data besar dan pendekatan yang didorong oleh data yang inovatif telah mencipta peluang yang lebih baik untuk membuat keputusan yang berasaskan bukti.

“Peluang boleh berbeza antara kawasan keputusan dan antara peringkat kitaran keputusan, bergantung kepada relevannya sumber data dan teknologi data seperti analisis data dan visualisasi, isu privasi, kemahiran, membolehkan infrastruktur ICT dan lain-lain,” tambah Mohd Uzir.

Lebih 500 peserta dari sektor swasta dan awam menghadiri Mystats 2018 selama sehari yang bertema “Memupuk Sains Data dan Analisis untuk Memperkukuh Pembuatan Keputusan Berasas Bukti” yang bertujuan meningkatkan celik dan kesedaran statistik menerusi pesta kerjaya dan pameran mini. – BERNAMA

Loading...