Komitmen ASEAN-Jepun Berjaya Dizahirkan

KUALA LUMPUR – Komitmen serta perpaduan yang kukuh antara ASEAN dan Jepun dalam memerangi pandemik COVID-19, baik dalam bidang kesihatan atau ekonomi dapat dizahirkan dengan jelas melalui Pelan Tindakan Daya Tahan Ekonomi ASEAN-Jepun.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin bahawa pelan tindakan itu akan menyumbang ke arah menggiatkan semula ekonomi negara dan memudahkan kesinambungan perniagaan serta pertumbuhan.

Kerjasama Jepun dan Asean ini merupakan satu usaha yang terpuji bertujuan menjaga kebajikan rakyat di negara masing-masing, katanya semasa mesyuarat digital Menteri-Menteri Ekonomi Negara Anggota ASEAN dengan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun.

Azmin juga melahirkan hasrat agar pelan tindakan itu dan semua inisiatif akan dilaksanakan mengikut jadual serta berkesan bagi mencapai kesemua objektif yang sudah ditentukan.

“Kami sedang berusaha ke arah cara yang lebih berkesan untuk menerajui transformasi digital rantau ASEAN.

“Dalam hal ini, saya percaya Jepun boleh memainkan peranan penting dalam konteks ASEAN Plus Three,” katanya.

Beliau juga mengulangi bahawa ketersediaan dan kemampuan memiliki vaksin COVID-19 adalah amat utama dalam memerangi virus dan ASEAN perlu mengambil kira langkah secara menyeluruh dalam mendapatkan vaksin untuk meningkatkan peluang ketersediaan bagi rantau ini.

“Oleh itu, saya menggesa Jepun untuk berkongsi kepakarannya ketika kami bekerjasama untuk memastikan agar pergerakan bekalan perubatan yang penting termasuk vaksin dan ubat antivirus tidak terhalang,” tambahnya.

Pada mesyuarat yang dihoskan Vietnam itu, Menteri Kanan, yang diiringi oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong, berkongsi pengalaman Kerajaan Malaysia dalam menangani kesan sosio-ekonomi COVID-19 termasuk usaha negara untuk melindungi dan kesejahteraan rakyat Malaysia. – Mynewshub.TV

Loading...