KM Pulau Pinang Sahkan JAS Lulus Projek 3 Pulau

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini mengesahkan projek tambak laut 3 pulau sudah diluluskan pihak berkuasa persekutuan.

Bercakap di luar Pameran Expo Taiwan di sini, beliau berkata, pejabatnya menerima faks daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam mengesahkan projek itu mendapat lampu hijau luar jangka atas 72 syarat yang dikemukakan kepada negeri itu.

Projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang (PSR) berkeluasan hampir 17km persegi dengan 3 pulau masing-masing seluas 9.3, 4.45 dan 3.23km persegi akan ditebus guna di perairan Permatang Damar Laut, berdekatan Bayan Lepas.

Tanah yang ditebus guna itu milik kerajaan negeri, tetapi akan dilelongkan kepada pembina tertinggi untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion.

PTMP dijangka meliputi beberapa lebuh raya, sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan pengangkutan lain yang akan dibina dalam 20 hingga 30 tahun akan datang.

PTMP akan dilaksanakan SRS Consortium Sdn. Bhd., usaha sama antara Gamuda Bhd. dan syarikat pembangunan hartanah Pulau Pinang, Loh Phoy Yen Holdings Sdn. Bhd. serta Ideal Property Development Sdn. Bhd.

Surat JAS yang bertarikh 25 Jun itu difaks ke pejabat setiausaha negeri pada 10 pagi semalam.

Chow berkata, butiran 72 syarat itu akan didedahkan minggu depan.

“Salinan rasmi surat kelulusan itu akan dihantar kepada kami. Kami akan kaji kandungannya.

“Seperti kelulusan lain oleh JAS, ada syaratnya. Ada 72 syarat. Kami akan patuhi syarat itu.” – FMT

Loading...