Kluster Pekerja Kilang Di Klang Catat Kes COVID-19 Tertinggi

PUTRAJAYA – Kluster Teratai membabitkan pekerja kilang di Meru, Klang dekat sini, mencatatkan peningkatan kes positif COVID-19 baharu tertinggi, iaitu 1,067 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster itu menunjukkan peningkatan kes mendadak sejak akhir-akhir ini. 

Katanya, sehingga hari ini, sebanyak 2,524 kes positif COVID-19 dilaporkan daripada keseluruhan 5,767 kes disaring dalam kluster membabitkan Selangor dan Kuala Lumpur itu.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

Beliau berkata, sebanyak 1,330 sampel adalah negatif dan 1,913 masih menunggu keputusan.

“Kes-kes dalam kluster ini terdiri daripada 164 warganegara dan 2,360 bukan warganegara yang berusia antara dua hingga 68 tahun.

“Kebanyakan kes daripada kluster ini, pekerja kilang di kawasan Meru, Klang. 

“Semua kes positif dimasukkan ke hospital dan kontak rapat mereka dikuarantin untuk mengelakkan jangkitan kepada pekerja lain,” katanya dalam sidang media COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihak pengurusan kilang sudah mengambil langkah inisiatif untuk mengasingkan pekerja dikenal pasti sebagai kontak rapat di tempat kuarantin tertentu. 

Tambahnya, walaupun kluster berkenaan mencatatkan jumlah kes positif tinggi, Dr Noor Hisham berkata, tiada individu memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kes kematian dilaporkan membabitkan kluster itu, setakat hari ini. – BH Online