Kluster Baharu Covid-19 Di Perak, Sabah

PUTRAJAYA – Kluster Batu, Perak dan Kluster Ramai-Ramai, Sabah merupakan kluster wabak koronavirus (Covid-19) baharu yang dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Batu dikesan hasil saringan kakitangan dan ahli keluarga sebuah kem tahanan.

“Hasil saringan itu mendapati sebanyak tujuh kes dikesan positif Covid-19 sehingga semalam dan telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak,” katanya melalui siaran langsung yang dipancarkan dari kediaman beliau di sini.

Menurutnya, setakat ini, seramai 860 individu telah disaring.

“Selain tujuh dikesan positif, 182 adalah negatif manakala 671 masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata, Kluster Ramai-ramai di Sabah pula membabitkan kes indeks yang merupakan seorang pemandu bas.

“Kes mengalami gejala sakit tekak dan demam pada 27 September lalu.

“Dia dikesan positif pada 3 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan,” katanya.

Susulan itu, Dr Noor Hisham berkata, saringan kontak rapat telah dijalankan dan hasilnya 19 lagi kes positif dikesan.

“Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia dan mereka juga telah dimasukkan ke hospital sama,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, seramai 166 individu telah disaring.

“Sejumlah 20 dikesan positif manakala 146 lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Punca jangkitan bagi kedua-dua kluster berkenaan masih dalam siasatan. – Sinar Harian