KUALA LUMPUR – Setelah digemparkan dengan penyebaran empat video lucah Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dengan lelaki mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, hari ini tersebar satu lagi klip perbualan pula.

Klip berdurasi 47 saat yang dipetik dari YouTube itu rata-rata berkisar tentang perbualan dua pihak mengaturkan pertemuan.

Pada awal perbualan, lelaki dipercayai Haziq bertanya kepada pasangannya bila mereka boleh bertemu.

“Bila you free?” kata individu yang dipercayai Haziq.

Now (sekarang) I free dalam dua jam. I boleh turun sekejap. Kalau you lalu kat lobi tu nanti mereka (tidak pasti siapa) nampakkan,” kata lelaki yang didakwa pasangan Haziq.

“Dekat lobi ke macam mana?” tanya Haziq lagi.

“Biar I turun dulu, tunggu I turun,” jelas lelaki berkenaan.

Video itu disebarkan tatkala Mohamed Azmin mengadakan sidang media di Majlis Perjanjian Persefahaman antara Konsortium PCB-MGB dan Must Ehsan Development Sdn. Bhd. bagi pembangunan Rumah Idaman Rakyat Selangor di Shah Alam hari ini.

Menurut individu yang dipercayai memuatnaik video berkenaan, Rahim Jaafar, perbualan itu dirakam pada Mac lalu ketika lelaki yang didakwa mirip Mohamed Azmin menjadi Menteri Pengiring kepada Sultan Brunei.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan lawatan ke Malaysia pada 5 Mac lalu dan bertemu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette

Loading...