Klip Audio: Najib, Rosmah Selesai Disoal Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor selesai disoal Bukit Aman berhubung rakaman audio dikatakan suara mereka dan beberapa individu lain berbincang mengenai urusan berkaitan 1MDB.

Mereka bersama polis selama 1 jam, dalam siasatan ke atas 9 rakaman audio yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Peguam Rosmah, Rajivan Nambiar dan Mohamed Reza Rahim di pintu utama Bukit Aman memberitahu pemberita Najib dan Rosmah masing-masing diambil keterangan pada 10.30 pagi dan 10.45 pagi tadi.

“Najib dan Rosmah hadir memberi keterangan kerana ia merupakan satu daripada subjek siasatan. Pihak kami sedia untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis,” kata Rajivan.

Dia turut mengesahkan pasangan itu akan bertemu SPRM pada 2.30 petang ini, dipercayai untuk disoal berkenaan rakaman sama.

Rakaman keterangan mereka dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Pada 8 Januari lepas, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1MDB serta SRC International Sdn. Bhd.

Polis sebelum ini mengambil keterangan 12 individu dalam siasatan ke atas rakaman audio berkenaan.

Mereka yang dirakam percakapan termasuk ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas ketua setiausaha sulit Najib iaitu Shukry Mohd Salleh dan bekas pegawai khas beliau, Amhari Efendi Nazaruddin. – FMT

Loading...