KLIA Berjaya ‘Terbangkan’ Anthony Loke Ke Pulau Pinang

SEPANG – Meskipun sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih mengalami gangguan hingga antaranya menjejaskan waktu penerbangan, namun ia berjaya ‘menerbangkan’ Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook untuk menghadiri program rasmi di Pulau Pinang, hari ini.

Menurut Setiausaha Akhbarnya, Lim Swee Kuan, walaupun berlaku sedikit kelewatan masa penerbangan yang melibatkan Anthony, namun pesawat dapat berlepas ke destinasi yang dituju.

“YB (Anthony) berpuas hati dan memahami masalah yang sedang dihadapi KLIA dan beliau serta rombongannya bersabar seperti penumpang lain untuk melalui segala proses dari daftar masuk ke balai pelepasan untuk menaiki kapal terbang ke Pulau Pinang,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Anthony dijadual menghadiri Majlis Pelancaran Pas Mutiara anjuran Prasarana di Pulau Pinang, pada sebelah pagi hari ini.

Sebelum berlepas, Anthony mengambil kesempatan meninjau keadaan di KLIA bersama dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Beliau diberi taklimat mengenai perkembangan di terminal itu oleh pegawai Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).

Gangguan sistem, yang bermula sejak Rabu malam di KLIA dan klia2, menjejaskan sistem utama lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).

Dalam hantaran di laman Facebook beliau, Anthony berkata, beliau dimaklumkan bahawa MAHB telah menjalankan pelbagai usaha untuk memperbaiki keadaan termasuklah penggantian perkakasan yang bermasalah.

“Kami berharap masalah ini boleh diselesaikan dengan secepat mungkin. Terima kasih kepada pekerja lapangan terbang KLIA/klia2 yang bekerja lebih masa untuk memperbaiki keadaan ini,” katanya.