KKR Nafi Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak Berkualiti Rendah

KUCHING – Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini menyangkal dakwaan kononnya Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak ini dispesifikasikan sebagai gred dua atau kualiti rendah.

KKR dalam kenyataannya menegaskan gred jalan raya bagi pembinaan Jalan Persekutuan adalah sama di seluruh Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah, sekali gus menjawab dakwaan Parti Sarawak Bersatu (PSB) seperti yang diterbitkan sebuah akhbar tempatan mendakwa LPB Sarawak adalah di bawah ‘Senarai Dua’ lebuh raya.

“Berdasarkan Perintah Sekatan Berat (WRO) Senarai Dua yang dinyatakan adalah merujuk kepada jambatan sedia ada di sepanjang LPB.

“Sebelum ini, kapasiti muatan maksimum adalah 38 tan dan terhad kepada kenderaan berat enam gandar. Sehubungan itu, LPB disenaraikan sebagai Senarai Dua walaupun spesifikasi gred jalan (tidak termasuk jambatan) adalah seperti dalam Senarai Satu,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata bagi memastikan rakyat Sarawak menikmati pembangunan yang sama seperti negeri lain di Semenanjung Malaysia, projek LPB dari Telok Melano ke Miri sedang dinaik taraf selari dengan keperluan lalu lintas semasa yang mematuhi kapasiti peraturan muatan berat seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Sehubungan itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan ke arah pembangunan infrastruktur jalan raya di negeri tersebut seperti Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) iaitu projek jalan sepanjang 425km menghubungkan Long Lama ke Long Pasia termasuk pembinaan susur jalan yang menghubungkan bandar-bandar di kawasan pedalaman,” katanya.

Kenyataan itu menyebut kerajaan Persekutuan khususnya KKR tidak memotong mana-mana peruntukan untuk tujuan pengurangan kos bagi projek infrastruktur di Sarawak seperti yang dinyatakan dalam artikel itu. 

“Berdasarkan Belanjawan 2020, kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan kepada Sarawak, yang antaranya perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.4 bilion, Projek Air Bersih Luar Bandar RM115 juta kepada penduduk luar bandar dan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar RM285.6 juta (tertinggi berbanding Sabah dan Semenanjung Malaysia).

“Selain itu, pembinaan jalan raya yang menghubungkan kawasan luar bandar dengan kos RM224.4 juta dan buat pertama kalinya selepas 50 tahun, peningkatan Geran Khas RM32 juta (peningkatan RM64 juta dalam tempoh lima tahun akan datang),” tambah kenyataan itu.

Loading...