KKMM Ambil Tindakan Tegas Penyebaran Berita Palsu

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran berita tidak sahih, sehingga menimbulkan kekeliruan orang awam semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, bagi membendung wabak COVID-19.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah hari ini berkata, sejumlah 42 kes sedang disiasat dengan 13 kertas siasatan telah dibuka, dan enam daripadanya telah mendapat arahan tuduh di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Tindakan itu dibuat menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama pihak polis, katanya menerusi laman Twitter rasminya.

Beliau turut mendedahkan contoh-contoh berita palsu tersebut dengan antaranya ialah:

  • Dakwaan Kementerian Pertahanan akan minta bantuan veteran menguat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
  • Nota suara yang mendakwa anggota tentera diberi kuasa pukul orang awam.
  • Pemalsuan kenyataan media Majlis Keselamatan Negara .
  • Dakwaan panduan mencegah COVID-19 oleh doktor Jepun.
  • Dakwaan Hospital Sungai Buloh minta sumbangan kelengkapan pelindung diri bagi merawat pesakit COVID-19.
  • Dakwaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mohon sumbangan.
  • Dakwaan doktor pakar di sebuah hospital di Perak meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19.
  • Dakwaan dikenakan saman semasa sekatan jalan raya di hadapan Balai Polis TTDI.
  • Dakwaan Hospital Kuala Lumpur minta bantuan barangan dan dana.
  • Dakwaan pesakit positif COVID19 lari dari Hospital Raja Perempuan Zainab II

Saifuddin berkata sesiapa yang menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam, hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, boleh dikenakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Sesiapa yang menyebarkan kandungan bersifat lucah, palsu & mengancam orang lain, Saifuddin berkata, kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali, di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Terus gunakan platform sosial media dengan baik, semoga #MalaysiaBebasCovid19!” katanya. 

Loading...