KKM Sahkan 2 Korban Covid-19 Hari Ini

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan mengesahkan satu lagi kematian akibat koronavirus baharu (Covid-19) menjadikan dua kematian akibat virus itu dalam negara hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pesakit kes ke-178 adalah seorang lelaki warga Malaysia berusia 34 tahun menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling dan mengalami demam pada 5 Mac lalu.

“Pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru dan disahkan positif Covid-19.

“Lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan dan kesihatan mangsa mula merosot sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan disahkan meninggal dunia hari ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, pesakit kedua meninggal dunia adalah kes ke-138 iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 60 tahun.

“Pesakit mempunyai sejarah penyakit kronik termasuk kencing manis dan dikesan mempunyai gejala demam, batuk dan kesukaran bernafas.

“Mangsa dirawat di Hospital Umum Sarawak sebelum disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke ICU.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pagi tadi di hospital berkenaan,” katanya.

Hari ini, sebanyak 120 kes baharu dicatatkan menjadikan keseluruhan kes di Malaysia berjumlah 673 kes.

Dr. Adham berkata, daripada jumlah itu 95 kes positif berkaitan kluster tabligh di Masjid Sri Petaling. – myMetro Online

Loading...