KKM Nafi Sistem Kesihatan Sabah Hampir Lumpuh

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan menafikan sistem kesihatan di Sabah semakin lumpuh berikutan penularan COVID-19 di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebaliknya kementerian sudah menangani isu yang ditimbulkan termasuk membabitkan peralatan bantuan pernafasan dan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Beliau berkata, perkara yang paling penting ialah penyelarasan dan peruntukan selain kerajaan sudah menyalurkan lebih RM30 juta peruntukan kecemasan untuk memperkukuh sistem kesihatan di Sabah.

Katanya, beliau hairan mengapa banyak pihak gemar percaya kepada persepsi negatif sedangkan fakta dan angka yang ada menunjukkan perkara sebaliknya.

“Sistem kesihatan di Sabah masih lagi mempunyai kapasiti (berfungsi) justeru tidak benar dakwaan sesetengah pihak itu kerana apa yang dimaklumkan adalah maklumat terkini.

“Kami juga akan meningkatkan aktiviti pengesanan dan intervensi kesihatan awam di Sabah. Tidak benar bahawa sistem kesihatan di Sabah semakin lumpuh tetapi kami mengakui bahawa situasi ketika ini lebih sukar dan mencabar. 

“Pun begitu kami sudah bersedia menghadapinya berbanding sebelum ini iaitu pada Mac lalu.

“Dari segi penugasan sumber manusia serta PPE dan sebagainya, kami sudah mulakan lebih awal dengan menghantar pasukan ke Sabah termasuk dari negeri lain,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini. – BH Online

Loading...