KKM Kesan 2 Lagi Kluster Baharu Covid-19

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua lagi kluster baharu iaitu Kluster Hyde Park di Selangor dan Kluster PUI Melbourne di Sarawak, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Memperincikan Kluster Hyde Park, beliau berkata kluster itu dikesan di atas sebuah kapal di Pelabuhan Klang, melibatkan seorang anak kapal warga Rusia (kes ke-8769) yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara Mesir dan India.

“Kluster ini dikenal pasti susulan saringan COVID-19 yang dijalani oleh kru kapal itu sebelum pulang ke negara asal. Sehingga hari ini, keseluruhannya 24 orang telah disaring dengan empat disahkan positif COVID-19.

“Semua kes positif dalam kluster ini melibatkan bukan warganegara. Mereka sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, manakala kesemua kontak rapat yang negatif pula dikuarantin di atas kapal itu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jelasnya, kluster itu tidak membawa risiko penularan jangkitan dalam komuniti kerana merupakan kluster import yang terpencil  dan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di atas kapal tersebut.

Bagi Kluster PUI Melbourne, Dr Noor Hisham berkata kes indeks kluster itu merupakan seorang pelajar tempatan (kes ke-8749) yang pulang dari Australia pada 15 Julai.

Pelajar itu menaiki dua pesawat, iaitu dari Melbourne ke Kuala Lumpur dan kemudiannya dari Kuala Lumpur ke Kuching.

“Dari pintu masuk umum Kuching, Sarawak, beliau seterusnya dibawa ke pusat kuarantin di mana saringan COVID-19 didapati positif pada 17 Julai. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dijalankan dan satu lagi kes positif telah dikesan dalam kluster ini,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham,  kes kedua kluster itu menaiki pesawat yang sama dengan kes indeks, iaitu penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching.

Dr Noor Hisham berkata seramai  21 kontak rapat dalam kluster itu, merangkumi penumpang pesawat dan kenderaan awam yang berkaitan, telah disaring dan masih menunggu keputusan, sementara punca jangkitan masih disiasat.

Untuk rekod, jumlah terkini kluster yang masih aktif di negara ini ialah 19 kluster.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata  waktu melawat pesakit dan bilangan pelawat yang dibenarkan melawat hospital KKM semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan (PKPP) adalah kekal seperti tempoh PKP.

Pelawat hanya dibenarkan masuk ke dalam wad bagi kes kecemasan atau kes kritikal atau keadaan yang memerlukan, manakala waktu melawat dipendekkan mengikut ketetapan hospital, katanya.

“Bagi janji temu klinik pula, hanya seorang peneman atau pengiring dibenarkan, kecuali untuk pesakit kanak-kanak atau pesakit yang memerlukan bantuan atau kes kecemasan atau keadaan yang memerlukan.

“Polisi ini perlu bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 di hospital serta memutuskan rantaian jangkitan wabak secara berterusan. Garis panduan ini akan disemak dari semasa ke semasa dan sebarang perubahan adalah tertakluk kepada situasi semasa COVID-19,” katanya. – BERNAMA