KKM Jejak Kontak Rapat Penuntut Positif Covid-19

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) kini giat menjejak kontak rapat kepada seorang penuntut kolej swasta di Kuching yang didapati positif Covid-19 selepas balik ke kampungnya di Tanjung Manis, di Petra Jaya, baru-baru ini.

Ia berikutan seorang lagi yang diuji positif pandemik itu di Kota Samarahan hari ini dikenalpasti antara kontak rapat penuntut perempuan terbabit.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, siasatan mendapati, sebelum balik ke kampungnya di Belawai, Tanjung Manis pada 12 Mei lalu, penuntut terbabit mengunjungi rumah rakannya di Kota Samarahan.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

“Kes positif di Kota Samarahan hari ini berkaitan dengan penuntut yang positif dari Tanjung Manis dan kami dimaklumkan bahawa sebelum balik ke Tanjung Manis, dia melawat rumah kawannya di Samarahan.

“Hasil penjejakan kontak rapat pelajar itu, 11 didapati negatif manakala 14 lagi masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya pada sidang media harian Covid-19 Sarawak, di Petra Jaya, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, kes positif di Kota Samarahan itu antara tiga kes positif terbaharu yang direkodkan di Sarawak.

Beliau berkata, dua lagi kes positif yang dilaporkan di Sarawak pula direkodkan di Kuching.

“Bagi dua kes positif di Kuching itu, 25 kontak rapat sudah disaring dan keputusan adalah negatif.

“Dengan tiga kes baharu itu, jumlah kes positif Covid-19 di Sarawak kini adalah seramai 552 orang,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, 38 individu dikompaun kerana cuba merentas daerah tanpa kebenaran.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan yang dikompaun kerana cuba merentas daerah sejak 19 Mei lalu adalah seramai 86 orang,” katanya.

Mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI), beliau berkata, seramai 369 ditahan di dua Depoh Imigresen.

“Daripada jumlah itu, seramai 315 sedia untuk tindakan penghantaran balik ke negara masing-masing dan 54 masih menunggu perbicaraan mahkamah.

“Jabatan Imigresen akan terus memantau prosedur operasi standard (SOP) untuk menentukan semua tahanan selamat (bebas Covid-19),” katanya. – myMetro Online

Loading...