KAFA Akui Belum Mampu Bayar Tunggakan Gaji

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengakui belum mampu untuk  melunaskan tunggakan gaji pemain bagi musim 2015 dan 2016.

Setiausaha Agungnya, Datuk Ismail Md Noor berkata, pihaknya peka dengan kritikan di media sosial yang dilemparkan bekas pemain dan menegaskan mereka bukan sengaja melupakan masalah tersebut.

“Ini tidak bermakna kita duduk diam, kita sedang usaha mencari duit untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain cuma buat masa ini kita memang tak ada duit.

“Kita sentiasa komited untuk bayar, tiba masa kita akan bayar,” katanya memetik laporan Sinar Harian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Jonathan McKain yang mempersoalkan tindakan Kelantan mendapatkan khidmat pemian import baharu.

Katanya, buat masa ini keutamaan KAFA adalah untuk meyelesaikan gaji semasa pemain yang tertangguh menggunakan duit tebus kontrak Mohammed Ghaddar.

KAFA menerima sebanyak RM1.4 juta hasil perpindahan Mohammed Ghaddar ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“KAFA ada dua pilihan, pertama biarkan Kelantan jadi pasukan belasahan dan yang kedua terus bersaing dengan kompetetif dan menghabiskan baki saingan yang ada jadi kena lihat keperluan semasa, maknanya kita perlu selesaikan perkara penting (bayar gaji semasa) ini dahulu.

“Mengenai tunggakan gaji, ada kaedah lain untuk bayar. Kalau tumpukan soal tunggakan, saya rasa Kelantan kena tarik diri daripada Liga Malaysia sebab pemain sedia ada akan lari kerana kita tak mampu bayar gaji,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

Loading...