K’jaan Sekat Eksport Ikan & Udang Tampung Kekurangan Musim Tengkujuh & Perayaan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyekat eksport empat spesies ikan dan dan udang tangkapan dalam usaha menampung kekurangan bekalan di pasaran semasa musim tengkujuh dan perayaan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata Sekatan Eksport Spesies Ikan Terpilih mulai 1 Jan hingga 28 Feb 2019 melibatkan ikan segar dan sejuk beku spesies kembung, selar, pelaling, bawal selain udang tangkapan,

Katanya tiga persatuan yang berperanan mengimbangi keperluan semasa fenomena bersifat sementara ini adalah Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Persatuan Nelayan Negeri Kedah (NEKAD) dan Persatuan Nelayan Kawasan Besut (PNK BESUT).

“Ketiga-ketiga persatuan berkenaan turut diberi tanggungjawab untuk menjadi pusat simpanan ikan sejuk beku dan mengerakkan bekalan bahan mentah itu ke seluruh negara.

“Setakat ini, jumlah stok simpanan ikan sejuk beku adalah sebanyak 400 tan metrik di ketiga-tiga pusat simpanan berkenaan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata kerajaan akan membenarkan penggunaan Pukat Tunda Musim Tengkujuh (PTMT) kepada pengusaha vesel tradisional bermuatan 15 GRT di negeri pantai timur semenanjung iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor di bahagian timur bagi menangkap udang.

Beliau berkata kebenaran itu akan diberikan pada Jan dan Feb 2019 bagi membantu tingkat pendapatan nelayan semasa musim tengkujuh dengan syarat memasang Alat Peranti Penyisih Penyu (TED).

“Sehingga kini, terdapat 148 PTMT di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur. Jabatan Perikanan juga menerima 45 permohonan baharu yang memenuhi syarat.

“Statistik perikanan 2017 menunjukkan pendaratan udang di Malaysia adalah 115,000 tan metrik dengan PTMT menyumbang tiga peratus daripada jumlah itu,” katanya. – BERNAMA

Loading...