“Kita Tunggu Dividen LTAT Mac Tahun Depan” – Najib

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak bertanya betul ke prestasi pengagihan dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi tahun kewangan 2018 tidak ada kena mengena dengan kedudukan pasaran saham tempatan yang paling corot di dunia dan kemerosotan ekonomi negara selepas pilihan raya umum lalu.

Pertanyaan itu dilontarkan Najib selepas Mohamad Sabu mendakwa penurunan dividen yang diumumkan oleh syarikat pelaburan tersebut semalam disebabkan pelaburan LTAT tidak munasabah oleh kerajaan dahulu.

Tetapi, kata Najib, sepanjang sembilan tahun beliau menjadi Perdana Menteri, LTAT menerima dividen yang tinggi dengan purata dividen dan bonus tahunan sepanjang tempoh ini adalah 14.1% setahun.

“Kenapa pula kita tidak mengalami situasi “pelaburan tidak munasabah” sepanjang tempoh itu?” soal bekas Perdana Menteri itu.

Secara sinis beliau berkata: “Tak apa. Kita tengok bulan Mac tahun depan berapakah dividen LTAT untuk tahun 2019 kerana saya tengok harga saham pelaburan utama Boustead masih belum memulih dan masih 67% di bawah harga sebelum PRU14 sedangkan sudah masuk bulan Oktober.” – MalaysiaGazette