Kit Siang Persoal Penganjuran Kongres Maruah Melayu

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang melontarkan beberapa persoalan berkaitan penganjuran Kongres Maruah Melayu yang akan dianjurkan di Stadium Malawati, Shah Alam pada Ahad ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri mempersoalkan adakah empat universiti awam yang menganjurkan program itu sudi mengadakan kongres sama tetapi melibatkan kaum lain.

“Ini antara persoalan yang dibangkitkan rakyat Malaysia sebagai reaksi terhadap penganjuran Kongres Maruah Melayu pada Ahad nanti.

“Maruah Malaysia akan terpelihara sekiranya maruah setiap kumpulan etnik dan agama di negara ini turut terpelihara iaitu dengan berpegang teguh terhadap prinsip-prinsip asas dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan adakah kongres berkenaan akan menegaskan semula prinsip asas dalam Perlembagaan Persekutuan dan mengecam prinsip memecah-belah yang sememangnya bertentangan dengan Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Contohnya, pendirian yang mengatakan seseorang itu harus mengundi calon yang beragama Islam meskipun dia adalah seorang kleptokrat atau pendirian yang mengatakan orang Melayu hanya boleh menyokong calon yang beragama Islam.

“Adakah Kongres Maruah Melayu ini akan merangka sebuah strategi untuk rakyat Malaysia membina sebuah keyakinan diri yang baharu untuk ‘menggapai bintang di langit’, sebuah semangat ‘Malaysia Boleh’ yang baharu,” soal beliau.

Kit Siang turut mempersoalkan sumbangan boleh dibuat kongres itu untuk menebus semula kehormatan, maruah, reputasi dan nama baik Malaysia di arena antarabangsa.

“Adakah Kongres Maruah Melayu menyokong visi Malaysia menjadi negara terkemuka bertaraf antarabangsa yang berteraskan perpaduan, keadilan, kebebasan, kecemerlangan dan integriti?

“Malaysia kini berada dalam keadaan di mana setiap komuniti dibelenggu dengan rasa ketakutan, kesangsian dan kebencian sehingga mereka percaya mereka berdepan ancaman terhadap hak, kedudukan dan masa depan di Malaysia.

“Ini disebabkan oleh penyebaran ucapan kebencian dan berita palsu khususnya di media sosial bagi mengapi-apikan perpecahan dan permusuhan antara kaum dan agama di negara ini,” katanya.

Soalnya lagi, adakah kongres itu akan memulakan kempen literasi media bagi menyahaktif bom jangka pembinaan negara yang hanya akan membawa bencana kepada keamanan, toleransi dan keharmonian dalam Malaysia.

“Adakah kongres ini akan melahirkan garis masa dan visi untuk Malaysia menjadi contoh kejayaan Perikatan Peradaban di mata dunia dan bukan kegagalan kerana konflik peradaban, kerana Malaysia adalah titik pertemuan empat tamadun hebat dunia – Melayu/Islam, Cina, India dan Barat?

“Saya berharap jawapan kepada persoalan-persoalan ini boleh ditemui dalam Kongres Maruah Melayu pada Ahad ini,” katanya.

Kongres Maruah Melayu dijangka menghimpunkan belasan ribu orang daripada pelbagai latar belakang dalam usaha mencari penyelesaian bagi memperbaiki kedudukan dan maruah bangsa Melayu.

Program bermula jam 8 pagi dan berakhir tengah hari itu akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam yang boleh menampung sehingga 15,000 orang.

Kongres tersebut merupakan anjuran bersama Universiti Malaya; Universiti Teknologi Mara (UiTM); Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Universiti Malaya akan mengendalikan persoalan politik, Universiti Teknologi Mara (ekonomi), Universiti Pendidikan Sultan Idris (pendidikan) dan Universiti Putra Malaysia pula akan menumpukan isu kebudayaan serta agama. – Sinar Harian

Loading...