“Kit Siang Ni Ada Masalah Ke?”

PERANG mulut antara Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan Lim Kit Siang berterusan hari ini seminggu selepas penasihat DAP itu membatalkan debat antara mereka.

Bekas perdana menteri itu menyuarakan rasa terkejutnya apabila Lim menyorot beberapa insiden lepas yang menurutnya membuktikan Najib mengelak untuk berdepan dengan pengkritik beliau.

“Dia ni ada masalah ke?” soal Najib di laman Facebooknya.

“Yang cadang tajuk debat, dia. Yang tanya saya jika saya sedia berdebat tajuk itu, dia.

“Yang tarik diri 2 hari kemudian dengan alasan rasis Melayu vs Cina, dia.

“Yang tulis alasan panjang lebar kenapa dia tarik diri dari debat, dia.”

Minggu lepas, dalam satu temu bual dengan FMT, Najib berkata, beliau terbuka kepada idea debat dengan Kit Siang.

Kit Siang kemudiannya berkata, beliau bersedia berdebat dengan Najib jika tajuknya ialah mengenai kleptokrasi. Najib bersetuju.

Bagaimanapun Kit Siang menarik diri keesokan harinya dengan berkata, beliau dihujani panggilan daripada penyokong supaya tidak meneruskan debat dengan Najib, dengan berkata, wujud kebimbangan bahawa debat itu mungkin bertukar menjadi konflik “Melayu-Cina”.

Kit Siang hari ini sekali lagi menyerang Najib dengan berkata, bekas perdana menteri itu telah hilang semua kewibawaan kerana menolak cabaran berdebat.

“Mengikut logik Najib, beliau telah hilang hak untuk membuka mulutnya untuk berkata apa-apa kerana beliau “hilang semua kewibawaan selepas melarikan diri daripada 2 pertemuan ‘Nothing to Hide’ dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan skandal 1MDB, memalukan dirinya sendiri di peringkat antarabangsa apabila enggan menyampaikan ucap tama pada Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC) di Putrajaya…dan penarikan diri daripada temu bual dengan wartawan Al Jazeera, Mary Ann Jolley pada Oktober tahun lepas,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.