Kisah Gelandangan Iran Tepis Sepak Penalti Ronaldo

TERBAIK… Para peminat bola sepak yang menonton perlawanan akhir kumpulan B Piala Dunia Rusia 2018 pasti tidak terlepas aksi penjaga gawang pasukan Iran, Alireza Beiranvand kelmarin.

Beliau malahan menjadi tumpuan utama media seluruh dunia selepas habis perlawanan itu hanya kerana berjaya menepis kemas sepakan penalti pemain sensasi pasukan Portugal, Cristiano Ronaldo.

Namun, siapakah sebenarnya Beiranvand, pemain berusia 25 tahun yang berjaya mematahkan serangan penentu oleh Ronaldo dan sekali gus dapat menyelamatkan maruah negara syiah tersebut?

Beiranvand mula dapat perhatian media apabila seorang wartawan sukan di Sepanyol, Mootaz Chehade menyatakan bahawa penjaga gol tersebut pernah menjadi seorang gelandangan miskin di Iran.

Chehade pernah menulis secara ringkas tentang perjalanan hidup Beiranvand yang terpaksa melalui pelbagai cabaran pahit untuk menjadi seorang pemain bola sepak antarabangsa dan terkenal.

Menerusi catatan laman sosial Twitter, Chehade berkata bahawa Beiranvand pernah melarikan diri dari rumah semasa kanak-kanak kerana impiannya menjadi pemain bola sepak dihalang oleh keluarga.

Sementara itu, portal berita The Guardian melaporkan bahawa Beiranvand membesar tanpa tempat tinggal tetap dan memilih untuk berteduh di bahagian luar stadium pasukannya menjalani latihan.

Bagi menyara kehidupan sukarnya, Beiranvand pernah bekerja di sebuah kilang pakaian, selain menjadi tukang cuci kereta dan petugas pembersihan jalan sebelum berjaya mencapai impiannya.

“Saya pernah tidur di depan pintu stadium dan ketika saya bangun pada waktu pagi, ada duit syiling berhampiran kerana orang ramai mungkin sangka saya seorang pengemis jalanan,” tambahnya.

Minat pada sukan bola sepak mula disemai sejak kecil dan pada awalnya Beiranvand bermula di posisi penyerang. Perubahan berlaku selepas dia menggantikan penjaga gol pasukan yang mengalami kecederaan.

Pada Selasa (waktu Malaysia), Iran dilaporkan ketinggalan 0-1 apabila Portugal dihadiahkan tendangan penalti dalam perlawanan yang menentukan hidup mati pasukan rantau Asia Barat tersebut.

Sepakan Ronaldo ke kanan gol ditepis Beiranvand yang kemudian menerkam dan mendakap bola itu ke dadanya. Perlawanan Iran-Portugal berakhir dengan keputusan seri 1-1. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...