Kisah Dramatik Nelayan Selamatkan Bayi Lemas Di Laut

DALAM satu insiden yang disifatkan sebagai satu keajaiban, seorang nelayan New Zealand menyelamatkan seorang budak berusia 18 bulan daripada lemas di laut.

Menceritakan semula insiden dua minggu lalu, Gus Hutt mengatakan anak kecil itu amat bernasib baik.

Hutt yang sedang bercuti dan menginap di khemah di Pantai Matata, North Island ternampak kelibat anak itu terapung di laut semasa sedang memancing.

Pada mulanya beliau menyangka objek itu sebuah anak patung tetapu sedar yang ia sebenarnya budak kecil apabila mengeluarkan suara.

Anak kecil itu keluar daripada khemah ibu bapanya dan akhirnya sampai di laut.

“Saya sangka ia anak patung. Masa saya mencapainya dengan tangan, saya masih anggap ia anak patung,” kata Hutt kepada akhbar tempatan NZ Herald.

Kata Hutt, wajahnya dan rambut yang basah kelihatan seperti anak patung tetapi beliau kemudian terkejut bila anak itu mengeluarkan suara.

Hutt yang menginap di Murphy’s Holiday Camp di Matata, sebuah bandar pinggir laut, berada di pantai berdekatan pada 26 Oktober sekitar jam 6.15 pagi waktu New Zealand.

Katanya kepada akhbar New Zealand, beliau biasanya terus ke pantai dari khemahnya untuk memancing, tetapi pada hari itu bercadang memilih satu lokasi lain 100 meter ke sebelah kiri.

Beliau ternampak anak kecil itu terapung, dan katanya jika terlewat sedikit, mungkin budak itu tidak akan kelihatan lagi.

“Budak itu bernasib baik, dan belum sampai ajal lagi.” – BBC