Khemah Peniaga Lorong TAR Diarah Tutup

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang aktiviti perniagaan dibenarkan dijalankan di Lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sepanjang Ramadan ini.

Pengarah Jabatan Perancangan Koporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Norhaslinda Nordin berkata, ini bagi memberi keadilan kepada peniaga di Bazar Ramadan Jalan Raja yang menjalankan perniagaan sejak awal Ramadan lalu.

Menurutnya, arahan itu dikeluarkan selepas mendapati masih ada peniaga yang menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan.

“Pada Sabtu lalu DBKL mendapati Pasar Malam Lorong TAR beroperasi seperti biasa dan sepatutnya berakhir pada lewat malam tersebut.

“Namun DBKL mendapati kira-kira 400 khemah telah dipasang sepanjang Lorong TAR dari persimpangan Jalan Melayu hingga ke bangunan Campbell tidak diturunkan sehingga pagi Ahad (2 Jun).

“Bagaimanapun selepas rundingan, DBKL telah mengarahkan agar peniaga menurunkan khemah serta menutup perniagaan mereka,” menurutnya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang kerja-kerja menurunkan khemah yang dilakukan peniaga itu sendiri.

Bermula tahun ini, Bazar Ramadan Lorong TAR telah dipindahkan ke Jalan Raja bagi memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung bazar berkenaan.

Hanya peniaga sedia ada di sekitar Jalan Masjid India, Jalan Melayu dan Lorong TAR termasuk Pasar Malam (Hari Sabtu) dibenarkan berniaga seperti biasa di kawasan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Loading...