Khazanah Perjelas Status Saham CIMB

KHAZANAH Nasional Bhd. menjelaskan ia tidak menjual sahamnya dalam CIMB Group Holdings Bhd. seperti yang dilaporkan.

Dana harta negara itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, saham-saham tersebut dipindahkan menurut perjanjian pemberian pinjaman sekuriti yang dimeterainya masing-masing dengan CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd., Credit Suisse Securities (Europe) Limited dan J.P. Morgan Securities PLC berkaitan dengan bon boleh tukar yang diterbitkan baru-baru ini.

“Bon boleh tukar itu tidak akan mempunyai kesan dilutif ke atas pendapatan sesaham CIMB,” kata Khazanah sambil menambah penerbitan bon boleh tukar itu adalah sebahagian daripada aktiviti pembiayaan tetapnya.

Khazanah juga berkata, ia menerbitkan 10 bon boleh tukar sejak 2004.

Khazanah semalam dilaporkan telah menjual 3.45 peratus pegangannya dalam bank kedua terbesar Malaysia itu.