Khazanah Jual Hotel Di Singapura Dengan Harga RM1.44 Bilion

KUALA LUMPUR – Anak syarikat 60% milik Khazanah Nasional Bhd., M+S Pte. Ltd. menjual hotel gaya hidup mewah lima bintang, Andaz Singapore, kepada Hoi Hup Realty Pte. Ltd. pada S$475 juta (kira-kira RM1.44 bilion) — harga tertinggi yang pernah dicatatkan bagi satu transaksi hotel tunggal di Singapura.

M+S berkata ia bersetuju menjual unit milik penuhnya, Ophir-Rochor Hotel Pte Ltd (ORH), pemaju dan pemilik hotel 342 bilik yang menduduki 15 tingkat teratas Duo Tower, kepada Hoi Hup pada S$1.39 juta sebilik.

Jualan hotel itu juga merupakan harga ketiga tertinggi yang dicatatkan tahun ini di Asia.

“Harga S$475 juta yang tidak pernah dicatatkan sebelum ini adalah bukti kualiti Andaz Singapore dan pengalaman tiada tandingan yang ditawarkan kepada pelanggannya. Ia juga menunjukkan potensi pertumbuhan hotel itu seiring dengan evolusi berterusan daerah Bugis sebagai tambahan kepesatan Wilayah Pusat Perniagaan sedia ada,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Kemmy Tan dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setelah menilai tawaran yang kukuh itu, pihaknya memutuskan transaksi yang dicadangkan tersebut akan membolehkan M+S memaksimumkan pulangan kepada pemegang saham di samping menyerahkannya kepada pemaju terkemuka dalam Hoi Hup untuk memajukan lagi aset tersebut.

M+S, ditubuhkan oleh Khazanah dan Temasek Holdings pada Jun 2011 untuk membangunkan Marina One dan Duo di tengah-tengah Singapura, akan terus memiliki dan menguruskan aset di Marina One ke tahap optimum bagi pemegang sahamnya, katanya.

Jualan ORH adalah tertakluk kepada syarat penutup yang ditetapkan dan JLL ialah penasihat yang dilantik untuk urus niaga tersebut.

Andaz Singapore, yang diuruskan oleh Hyatt Hotels Corporation, memulakan operasi pada 2017 sebagai hotel Andaz pertama di Asia Tenggara.

Hotel yang menjadi sebahagian penggunaan bercampur Duo, menawarkan pelbagai pilihan tempat makan, ruang paling atas bangunan dan dek tinjau serta kemudahan mesyuarat premium.

Ia terletak di koridor Ophir-Rochor di Singapura, bersebelahan dengan kejiranan kebudayaan Kampong Glam, dan mempunyai kesalinghubungan terus ke Stesen MRT Bugis.

Hoi Hup Realty ialah pemaju harta tanah terkemuka dengan pengalaman lebih 36 tahun dalam industri pembangunan hartanah.

Pengerusi Hoi Hup Reality, Wong Swee Chun berkata: “kami tertarik dengan keunikan tawaran hotel mewah berkualiti tinggi ini selain kepentingan sejarahnya, menjadi antara projek mercu tanda oleh M+S. Kami juga teruja dengan lokasi strategik hotel ini terletak di wilayah penting Beach Road dan koridor Ophir-Rochor.”

Beliau berkata Hoi Hup amat yakin Andaz akan memenuhi potensinya menjadi antara hotel mewah terkenal di Singapura.

Loading...