“Khazanah: Jangan Seperti Lembu Dicucuk Hidung”

1. Khazanah Nasional Berhad adalah dana kekayaan BERDAULAT Malaysia yang diamanahkan untuk meningkatkan kekayaan jangka panjang negara. Khazanah diamanahkan untuk menyimpan dan menguruskan aset komersial Kerajaan dan melaksanakan pelaburan strategik untuk negara. Khazanah memainkan peranan sebagai pemangkin dalam memacu pelbagai industri strategik dan inisiatif negara, memupuk pembangunan industri dalam usaha memenuhi kepentingan ekonomi jangka panjang Malaysia.

2. Khazanah juga memacu pembentukan nilai pemegang saham, meningkatkan keuntungan kecekapan dan meningkatkan tadbir urus korporat dalam syarikat-syarikat yang dikawal oleh Kerajaan, yang dikenali sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC. Syarikat-syarikat utama yang tersenarai dalam portfolio Khazanah terdiri daripada beberapa syarikat terbesar dan terpenting di Malaysia, termasuk Axiata Group Berhad, CIMB Group Holdings Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad, dan Malaysia Airlines Berhad.

3. Berdasarkan penyata kewangan penuh berakhir pada tahun 2018, prestasi Khazanah menunjukkan penurunan ketara. Dua petunjuk penting untuk mengukur prestasi kewangan adalah “Realisable Asset Value (RAV)” atau nilai aset yang boleh direalisasikan dan “Net Worth Adjusted (NWA)” atau nilai bersih yang diselaraskan. RAV pada tahun 2018 adalah RM 135.5 Bilion, iaitu penurunan sebanyak RM 22 Bilion atau 14% berbanding tahun 2017. NWA pada tahun 2018 pula adalah RM 90.6 Bilion, iaitu penurunan sebanyak RM 25 Bilion atau 22% berbanding tahun 2017. Nilai RAV dan RWA semasa meletakkan kekuatan kewangan Khazanah berada kembali kepada tahun 2012-2013. Fakta tidak boleh dinafikan bahawa pentadbiran di bawah Perdana Menteri ke-6, Dato’ Seri Najib Razak, meletakkan Khazanah memacu peningkatan kewangan dari tahun 2008 sehingga 2017. Pentadbiran Khazanah pada ketika itu juga berada di bawah pengurusan anak Malaysia.

4. Pada 1 Julai, Khazanah mengumumkan perlantikan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah baharu yang berkuatkuasa 26 June 2019. Rakyat dikejutkan dengan perlantikan ahli Lembaga Pengarah baharu warganegara China, Profesor Xiao’ou Tang. Beliau adalah pengasas SenseTime, sebuah syarikat kecerdasan buatan (Artificial Intelligence AI). Menariknya, pada 27 April 2019, Perdana Menteri telah membuat lawatan ke pejabat SenseTime dan menyaksikan perjanjian ditandatangani antara Pengerusi G3 Wan Khalik Wan Muhammad, President SenseTime Asia Pasifik Jeff Shi dan Pengerusi China Harbour Engineering Co Ltd (CHEC) Lin Yi Chong. Perjanjian ini untuk membina pusat kecerdasan buatan serantau (Artifical Intelligence regional epicenter). Persoalannya, apakah rasionalnya melantik warganegara China ini sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah yang menguruskan dana kekayaan BERDAULAT negara kita? Persoalannya, adakah lantikan ini sebahagian daripada perjanjian lawatan Perdana Menteri? Dewan Pemuda IKATAN Malaysia tidak mahu melihat Khazanah seperti lembu dicucuk hidung apabila berdepan dengan kuasa besar seperti China. Kita tidak mahu melihat rakyat China mengatur perjalanan Khazanah dengan lantikan tersebut.

5. Pada hari yang sama juga, laporan portal berita The Malaysian Reserve melaporkan dua Ahli Lembaga Pengarah PETRONAS, iaitu bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim dan bekas Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz telah digugurkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah. Pada masa yang sama, Ahmad Faris Rabidin yang juga telah dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 4 November 2018, telah diangkat menjadi Ahli Lembaga Pengarah PETRONAS baru pada 1 Julai 2019 bagi menggantikan tempat Ahli Lembaga Pengarah yang digugurkan.

6. Bekas Perdana Menteri, Najib Razak mengkhabarkan seorang penulis blog “Pure Shiite” iaitu blogger bernama SatD a.k.a Mat Dong yang menjadi penulis blog tegar isu 1MDB kini dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah PETRONAS. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa PETRONAS membuat kenyataan berhubung perkara ini untuk menjernihkan keadaan. Ironiknya, Ahmad Faris juga merupakan ahli jawatankuasa penyiasat 1MDB di bawah Majlis Penasihat Kerajaan.

7. PETRONAS ditubuhkan pada tahun 1974 untuk menjadi penggerak utama kepada operasi huluan (upstream) dan hiliran (downstream) di dalam negara kita. Berpuluh-puluh tahun, PETRONAS secara konsisten menunjukkan bahawa syarikat Malaysia ini merupakan rakan kongsi yang berkebolehan dengan kerajaan-kerajaan tuan rumah di mana PETRONAS beroperasi di luar negara, serta hubungan yang baik dengan syarikat-syarikat minyak negara lain yang beroperasi di negara kita dalam meneroka sumber minyak dan gas serta membangunkan industri ini di Malaysia. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyeru agar PETRONAS diberikan ruang sebagai syarikat yang bebas daripada tekanan politik. Jangan jadikan PETRONAS seperti lembu yang dicucuk hidung!

Demi Bangsa Malaysia!

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia,
Parti IKATAN Bangsa Malaysia