Khatan: 5 Defendan Mohon Batal Saman Remaja

KUALA LUMPUR – Kerajaan dan empat yang lain memohon untuk membatalkan saman dikemukakan remaja berumur 18 tahun berhubung dakwaan berlaku kecuaian semasa proses berkhatan sehingga menyebabkan kepala alat sulitnya terpotong dan mengalami kecacatan kekal.

Kelima-lima defendan itu ialah pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang; pengarah hospital itu; doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor; serta kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua sehingga keenam.

Pembantu perubatan Hospital Kuala Lipis, selaku defendan pertama, sebelum ini pernah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu tetapi menarik balik permohonan berkenaan.

Peguam Mohamad Zainuddin Abu Bakar, yang mewakili remaja itu, berkata kelima-lima defendan memfailkan permohonan tersebut pada 16 Nov lalu atas alasan anak guamnya tidak mempunyai kuasa tindakan untuk memfailkan tuntutan saman selain mendakwa tuntutan berkenaan remeh, mengaibkan dan menyusahkan.

“Mahkamah menetapkan 3 Jan tahun depan untuk pengurusan kes selanjutnya,” kata peguam itu kepada pemberita selepas hadir pada pengurusan kes berkenaan hari ini di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rumaizah Baharom.

Dalam permohonan itu, kelima-lima defendan juga mendakwa mereka tidak mempunyai pengetahuan dan tidak terlibat dalam proses berkhatan yang dilakukan defendan pertama (pembantu perubatan) dan tidak pernah menyebabkan sebarang kecederaan atau kecacatan terhadap remaja tersebut selain mendakwa proses berkhatan dilakukan di premis persendirian dan di luar tugas rasmi defendan pertama.​​​​​​

Remaja itu yang memfailkan saman melalui ibunya selaku plaintif pada 19 Julai lalu, mendakwa pada 13 Dis 2010, jam 10 pagi, defendan pertama (pembantu perubatan) bersama seorang pembantunya telah menjalankan prosedur berkhatan dengan kebenaran dan pengetahuan defendan kedua (pegawai perubatan) dan ketiga (pengarah hospital) ke atas dua kanak-kanak lelaki termasuk anaknya, yang ketika itu berusia 10 tahun, di sebuah premis kediaman di Kuala Lipis, Pahang.

Plaintif mendakwa semasa berkhatan, defendan pertama tidak mengikut prosedur ditetapkan apabila telah memotong keseluruhan kepala zakar anaknya, yang ketika itu keadaan kulit zakar masih menutupi kepala kemaluan remaja berkenaan selain mendakwa defendan pertama membuat penyambungan semula ke atas kepala alat sulit dengan menjahitnya tanpa mengikut prosedur yang betul.

Dakwa plaintif, semasa anaknya berada di Hospital Kuala Lipis, defendan kedua tidak memberikan rawatan dengan segera dan juga tidak memaklumkan kepada plaintif serta anggota keluarganya bahawa keseluruhan kepala alat sulit itu glans penis terputus akibat prosedur berkhatan yang tidak mengikut standard, sebaliknya hanya dimaklumkan saluran kencing anaknya telah terpotong.

Plaintif mendakwa anaknya kemudian dibawa ke Hospital Selayang dan pembedahan dilakukan untuk menyambung semula kepala alat sulit dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar, namun selepas masuk hari ke-35, plaintif terperanjat selepas mendapati kepala alat sulit anaknya tidak ada lagi pada batang zakarnya.

Plaintif juga mendakwa defendan keempat memberi jaminan bahawa glans penis berkenaan kemungkinan akan tumbuh apabila anaknya mencapai usia akhir baligh, namun plaintif mendakwa apabila anaknya mencapai usia 17 tahun, kepala zakarnya tidak tumbuh dan remaja berkenaan mengalami kecacatan kekal di mana kemaluannya tidak dapat disambung semula.

Akibat kecacatan kekal itu, remaja berkenaan telah berubah sikap menjadi seorang yang amat pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya serta tidak faham dunia seksualiti.

Plaintif juga terpaksa menanggung perbelanjaan dan kos yang tinggi semasa mendapatkan rawatan di Hospital Selayang termasuk perbelanjaan perjalanan dan rundingan dengan peguam yang kesemuanya berjumlah lebih RM100,000. Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, faedah dan kos. – BERNAMA

Loading...