Khairuddin Cabar Anwar Dedah Dalang Kes Serangan Seksual

PETALING JAYA – Pengikut setia Dr. Mahathir Mohamad, Khairuddin Abu Hassan, menyerang Anwar Ibrahim kerana mempersoalkan desakan menjalani ujian poligraf dalam siasatan terhadapnya melibatkan aduan dibuat bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.

Khairuddin berkata beliau hairan hujah presiden PKR itu yang tiada asas baginya menjalani ujian poligraf.

“Bagi membuktikan dia bercakap benar dalam penafiannya, lebih baik Anwar buktikan kepada rakyat bahawa dia pun berani menjalani ujian poligraf secara sukarela sepertimana yang dilakukan Yusoff,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Anwar berkata beliau tidak perlu menjalani ujian poligraf kerana tidak ada keterangan saksi dan lokasi untuk menyokong aduan serangan seks dibuat Yusoff terhadapnya.

Anwar turut berkata beliau tahu dalang di sebalik dakwaan itu tetapi menyerahkan kepada polis menanganinya.

Khairuddin berkata Anwar perlu mendedahkan nama dalang tersebut.

“Ini bukan soal politik tetapi ini soal akidah agama.

“Lihat saja sehingga kini semua orang minta Anwar sumpah laknat bahawa dia tidak pernah meliwat, sekalipun dia tidak pernah menyahut seruan dan nasihat tersebut ke arah membersihkan namanya dari 1998 sehingga kini,” katanya.

Beliau mengingatkan Anwar yang Yusoff membuat tuduhan itu di bawah akuan bersumpah.

“Andai kata itu fitnah, Anwar harus saman malu terhadap Yusoff atau Anwar sendiri harus buat laporan polis terhadap bekas ‘research officer’ dia.”

Yusoff menjalani ujian poligraf pada 17 Disember lalu, sebahagian daripada siasatan polis di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Polis baru-baru ini memberitahu keputusan ujian itu akan dikongsi bersama Peguam Negara, Tommy Thomas, tetapi tidak akan didedahkan kepada umum.

Khairuddin percaya Yusoff telah “lulus” ujian poligraf itu.

Ini membuktikan Yusoff mengambil sikap berani kerana benar.

Anwar berkata sehingga kini tiada permintaan polis untuk beliau melakukan ujian poligraf, tetapi berjanji memberi kerjasama dalam siasatan kes itu. – FMT