Keyakinan Perniagaan Jepun Terhadap Malaysia Merosot

KEYAKINAN perniagaan di Malaysia dalam kalangan syarikat Jepun yang beroperasi di sini terus merosot pada separuh pertama 2019, namun mereka menjangkakan separuh kedua bertambah baik.

Ini merupakan hasil tinjauan yang dijalankan oleh Dewan Perdagangan dan Industri Jepun (Jactim) dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) dari 14 Jan hingga 31 Mac, yang meliputi 278 responden sah.

Berdasarkan tinjauan itu, indeks penyebaran keadaan perniagaan merosot 13.7 mata kepada negatif 18.9 mata daripada separuh kedua 2018 pada negatif 5.2 mata. Ini merupakan tahap terendah sejak separuh kedua 2016.

Bagaimanapun dalam tempoh enam bulan akan datang angka itu dijangkakan meningkat kepada 11 mata negatif.

Naib Presiden Jactim, Daiji Kojima berkata impak global akibat perang perdagangan AS-China turut menjejaskan ekonomi Malaysia.

“Industri elektrik dan elektronik turut terjejas, termasuk perkilangan keluli. Namun eksport masih baik,” katanya kepada pemberita pada pembentangan hasil tinjauan kaji selidik itu di sini hari ini.

“Arah aliran (keyakinan perniagaan) dijangkakan kembali dalam tempoh akan datang. Pemantauan rapat dijangka dilakukan untuk trend akan datang,” katanya sambil menambah tinjauan itu dilakukan dua kali setahun.

Mengenai daya tarikan perdagangan dan pelaburan Malaysia dalam kalangan negara Asia, Malaysia kekal di tempat keenam, selepas Vietnam, Indonesia, Myanmar, Thailand dan India, diheret turun khususnya oleh faktor kos buruh.

Bagaimanapun, mengenai pelan perniagaan akan datang di Malaysia, 35.4 peratus daripada syarikat Jepun berkata mereka akan memperluas perniagaan, penurunan 1.4 peratus daripada tinjauan sebelumnya.

“Pertumbuhan stabil dan peningkatan tempahan merupakan sebab utama pengembangan dengan beberapa perancangan untuk menjadikan Malaysia hab masing-masing,” kata Kojima.

Trend pengembangan dalam sektor bukan pengilangan lebih tinggi (43.9 peratus) daripada pembuatan manakala yang mengekalkan status quo merosot 2.7 mata kepada 58.8 peratus.

“Daya tarikan utama Malaysia sebagai destinasi pelaburan ialah penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pekerja dan rakyatnya (68.7 peratus), ekoran syarikat Jepun semakin menghargai kehebatan bahasa Inggeris.

“Faktor positif lain termasuk rakyat Malaysia yang pro-Jepun (58.6 peratus), bencana alam yang kurang belaku di negara (56.8 peratus), dan kestabilan politik (19.1 peratus),” kata Kojima.

Terdapat 1,400 syarikat Jepun di Malaysia, dengan 700 syarikat terlibat dalam sektor pembuatan, 40 peratus dalam elektrik dan elektronik, dan selebihnya dalam sektor perkhidmatan.

Kira-kira 600 syarikat didaftarkan di bawah Jactim.