Ketua Polis KL Naik Pangkat Pindah Ke Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh naik pangkat kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berkuat kuasa 9 November depan.

Amar Singh, 59, merupakan timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur pada 14 Mac 2016 menggantikan Datuk Tajuddin Md Isa.

Beliau menjadi perhatian media ekoran tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat pada 14 September lalu mengorbankan 23 nyawa dan menyaksikan penahanan tujuh remaja yang berpunca akibat dendam.

Perlantikan Amar mencatat sejarah tersendiri sekali gus memberi penghormatan kepada etnik minoriti di Malaysia khususnya kaum Sikh yang kurang daripada 0.16 peratus berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia diumumkan Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, ACP Datin Asmawati Ahmad dalam siaran media di sini yang menyatakan ia turut melibatkan pertukaran 42 pegawai.

Antara lain ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman yang baharu.

Kenyataan itu turut memaklumkan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim akan dinaikkan pangkat kepada Komisioner Polis (CP) dengan memegang jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu.

Jawatan Mazlan pula akan disandang oleh Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zainuddin Yaacob.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bahagian Perkhidmatan dan Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Fatimah Abd Hamid ditukarkan ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik).

Fatimah menggantikan DCP Omar Mammah yang ditukarkan ke Kontinjen Perak sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri.

Timbalan Pengarah Jenayah Sindiket, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin bertukar jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Jawatan Saiful diambil alih oleh Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Ruslan Hassan.

Menurut kenyataan itu, Ketua Penolong Pengarah Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Skuad Taktikal Khas 3, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali bertukar jawatan sebagai Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan Maktab PDRM Kuala Lumpur.

Jawatan Muhammed Hasbullah akan digantikan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Nadzri Hussain dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Chong Kok Sin dan Timbalan Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ulu Kinta, Perak, ACP Abdul Ghani Mohamad Ji pula bertukar jawatan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA