Ketua Hakim Nepal Dipecat Kerana Tipu Tarikh Lahir

KATHMANDU – Ketua Hakim Negara Nepal, Gopal Prasad Parajuli, telah dipecat kerana melakukan penipuan berhubung tarikh kelahirannya, lapor agensi berita China Xinhua.

Memetik kenyataan Majlis Kehakiman pada Rabu, pemeriksaan teliti ke atas sijil lahir dan akademik ketua hakim negara itu mendapati beliau telah mencapai umur persaraan 65 tahun kira-kira  tujuh bulan lepas.

“Parajuli dipecat dari jawatan itu susulan kontroversi yang melanda dirinya berkaitan tarikh lahir beliau,’’ kata Majlis Kehakiman.

Perkara itu telah dimaklumkan kepada Pejabat Presiden, Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Undang-Undang, antara lain.

Terdahulu, laporan media tempatan menyebut Parajuli memperoleh pelbagai sijil kewarganegaraan dengan tarikh lahir yang berbeza.

Pakar perundangan berkata bahawa Parajuli merupakan ketua hakim pertama yang dipecat dalam sejarah moden Nepal. – BERNAMA

Loading...