Kesihatan Ekonomi Negara

1. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) sekali lagi menzahirkan kebimbangan dengan keadaan ekonomi semasa apabila Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir mahu terbitan Bon Samurai kedua diteruskan. Kementerian Kewangan pula mengeluarkan kenyataan bahawa mereka bersedia untuk bertindak sekiranya terbitan Bon Samurai kali kedua diteruskan. Menurut laporan berita, Menteri Kewangan telah mengadakan rundingan dengan pihak kerajaan Jepun, khususnya Japan Bank for International Cooperation (JBIC) yang akan menjaminkan terbitan Bon Samurai tersebut.

2. Berdasarkan laporan, pihak JBIC bersetuju untuk memberikan kadar faedah pinjaman 0.5 peratus dengan tempoh matang 10 tahun. Harus diingat, kerajaan Pakatan Harapan telah membuat pinjaman Bon Samurai yang pertama sebanyak 200 bilion Yen pada Mac 2019, dengan faedah pinjaman 0.63 peratus dengan tempoh matang 10 tahun. Harus diingat, kerajaan bukanlah mendapat pinjaman “loan aid” daripada Jepun, tetapi kerajaan Malaysia mengeluarkan bon yang dijamin oleh kerajaan Jepun.

3. Bon Samurai adalah bon yang dikeluarkan dalam denominasi matawang Yen di Tokyo oleh syarikat bukan Jepun dan tertakluk kepada undang-undang Jepun. Ini bukan kali pertama Malaysia terbabit dalam urusan Bon Samurai. Pada tahun 2015, Maybank pernah menerbitkan 31.3 billion Yen Bon Samurai yang terdiri daripada dua siri bon kadar tetap dengan tempoh matang 3 tahun dan 5 tahun dengan faedah 0.397 peratus dan 0.509 peratus. Namun begitu, kali ini jumlah terbitan Bon Samurai dilihat dalam kuantiti yang jauh lebih besar dengan tempoh matang lebih lama dan faedah lebih tinggi. Ketiga-tiga faktor ini membuka ruang kepada ketidak-tentuan ekonomi negara pada hari ini dan 10 tahun akan datang.

4. Hutang Bon Samurai yang dimiliki oleh kerajaan Malaysia dengan jaminan kerajaan asing bakal menjadikan ekonomi Malaysia lebih terdedah kepada matawang asing, terutama Yen. Fakta menunjukkan Malaysia mempunyai hutang dalam matawang asing yang sedikit setiap tahun. Contohnya pada tahun 2017, hanya RM5.2 bilion hutang negara dalam bentuk matawang Yen. Majoriti hutang negara adalah dalam bentuk Ringgit. Namun begitu, pada Jun 2019, hutang dalam bentuk matawang Yen telah meningkat kepada RM13 bilion, mengurangkan hutang luar negara yang dibuat dalam bentuk Ringgit. Adakah keadaan sebegini memberikan kebaikan kepada ekonomi negara?

5. Faktor terdedahnya kepada matawang asing menjadikan kadar faedah turut terkesan kepada pertukaran matawang asing. Dalam tempoh 10 tahun, tiada siapa akan berani mengatakan bahawa nilai Yen tidak akan berubah. Jika Yen mengukuh berbanding Ringgit, maka nilai pertukaran wang asing melebarkan jurang. Ini bakal menyebabkan Malaysia akan membayar lebih banyak kepada pihak Jepun. Hari ini nilai Ringgit masih lemah, bukan sahaja dengan US Dollar, tetapi juga dengan matawang serantau seperti Indonesia Rupiah dan Thai Baht.

6. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) juga menggesa Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng untuk memperincikan perbincangan yang dicapai antara Kementerian Kewangan dan JBIC. Lim Guan Eng juga diminta untuk menjelaskan keadaan hutang negara yang makin meningkat, walaupun Bon Samurai yang pertama dibuat dengan alasan untuk melunaskan hutang negara yang terdahulu. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) melihat Menteri Kewangan lebih prihatin isu kempen mengutamakan barangan buatan orang Islam berbanding cakna ekonomi negara.

7. Berdasarkan laporan Bank Negara, hutang negara pada akhir tahun 2017 adalah sebanyak RM687 bilion dengan peningkatan sebanyak 5.92 peratus berbanding akhir tahun 2016. Setelah Pakatan Harapan memegang tampuk pemerintahan negara dan Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, hutang negara meningkat kepada RM741 bilion pada akhir tahun 2018 dengan kadar peningkatan sebanyak 7.89 peratus. Setelah kerajaan membuat pinjaman Bon Samurai, hutang negara pada suku kedua tahun 2019 adalah RM799 bilion dengan peningkatan sebanyak 10.19 peratus. Ini merupakan peningkatan hutang tertinggi negara dalam tempoh 10 tahun. Keadaan ekonomi sebegini menunjukkan ekonomi berada dalam keadaan yang amat tenat. Tidak mustahil hutang negara akan meningkat melebihi RM800 bilion pada akhir tahun 2019. Keadaan ini juga bakal merealisasikan kenyataan Lim Guan Eng yang mengatakan hutang negara adalah RM1,000 bilion atau RM1 trilion.

8. Akhir sekali, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyeru kerajaan Pakatan Harapan untuk memberikan fokus kepada aspek ekonomi negara dan kos sara hidup rakyat yang makin tinggi. Menteri-menteri Pakatan Harapan, terutama Menteri Kewangan perlu berhenti menghabiskan masa mereka untuk mempolitikkan isu-isu remeh sehingga boleh mencetuskan kegusaran antara kaum. Isu penyatuan ummah dan kempen produk Islam telah diberikan persepsi negatif perkauman, walhal faktanya ke arah penyatuan nasional masyarakat Malaysia.

9. Sebagai penutup tinta kali ini, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyeru rakyat terus ingat dan jangan lupa akan susah payah yang kita terpaksa tempuhi ini sehingga PRU-15 dek kecelaruan yang ditimbulkan oleh Pimpinan Pakatan Harapan. Pada waktu itu, rakyat boleh menghukum kealpaan pimpinan Pakatan Harapan yang leka dengan kerakusan politik mereka hari ini. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia sentiasa cakna akan hal-hal anak muda terutama berkaitan jati diri Bangsa Malaysia, kemerosotan ekonomi negara dan penindasan yang berlaku kepada rakyat Malaysia. Bertabahlah rakyat sekalian. Salurkan kegusaran anda kepada kami kerana kami mendengar denyut nadi kalian.

Selamatkan Malaysiaku!

#SelamatkanMalaysiaku #PemudaMemimpin #GagasanSejahtera

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Pemuda Gagasan Sejahtera