“Kes Suami Ziana Zain, Jangan Tuduh Melulu”

KECOH kalangan pengguna media sosial mengenai suami kepada penyanyi bersuara gemersik, Ziana Zain iaitu Armin Zaharin ditahan kerana didakwa mencederakan anak.

Perkara yang melanda penyanyi tersebut ternyata bukan hanya menarik perhatian netizen, tetapi juga juara Gegar Vaganza musim kedua iaitu Siti Nordiana.

Siti Nordiana yang lebih mesra disapa Nana itu mohon agar netizen dapat memberikan sedikit ruang kepada Ziana untuk menyelesaikan perkara itu terlebih dahulu.

Tambah Nana, ketika ini Ziana sedang melalui saat yang sukar dan tidak adil bagi pihak lain untuk membuat kesimpulan melulu dan memberikan tekanan kepada Ziana berhubung hal berkenaan.

“Saya harap peminat faham dan netizen terutamanya jangan membuat kesimpulan sesuka hati. Hanya pihak terbabit tahu apa yang berlaku.

“Lagipun, hal ini sudah menjadi kes mahkamah, jadi lebih baik kita hormati,” kata Nana dipetik BH Online.

Armin Zaharin Ahmad Zambri diiringi seorang anggota polis dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Selasa.

Memetik beberapa sumber, Mynewshub difahamkan Armin didakwa menyebabkan kecederaan luka dan lebam terhadap seorang anaknya dengan menggunakan rotan di Denai Alam pada 25 Februari lalu sekitar pukul 4 pagi.

Berikutan itu, Armin didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau dua dari mana-mana seksaan itu.

Bagaimanapun, ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Selasa, Armin mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Malah, sebelum ini dalam rayuan, bekas pramugara Kanan Penerbangan Malaysia itu memaklumkan tujuan merotan adalah untuk mengajar anaknya mengaji dan solat selain turut memohon mengurangkan wang jaminan.

Sehubungan itu, majistret telah menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 April depan untuk sebutan semula kes. – MYNEWSHUB.CC/AM