Kes SSM: Nik Faisal, Suboh Dilepas Tanpa Bebas

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) gagal menyerahkan saman berhubung penyata kewangan syarikat terhadap bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil: bekas pengarah bukan eksekutif syarikat itu, Suboh Md Yassin dan syarikat Gandingan Mentari Sdn. Bhd.

Pegawai Pendakwa Raya SSM, Fazarul Ezhar Mohd Mokhtar memberitahu mahkamah, oleh itu pihaknya mendapat arahan daripada timbalan pendakwa raya supaya ketiga-tiga pihak terbabit selaku Orang Kena Saman (OKS) dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

“Pihak kami memohon kes ini di DNAA terhadap ketiga-ketiga OKS kerana saman masih tidak dapat diserahkan,” katanya pada sebutan kes itu di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Beliau berkata pihaknya akan memfailkan semula saman itu terhadap ketiga-tiga OKS supaya mereka mengemukakan penyata kewangan tahunan 2017 kepada SSM.

Gandingan Mentari iaitu anak syarikat SRC, Nik Faisal dan Suboh, didakwa gagal menyerahkan penyata kewangan tahunan bagi 2017 dalam tempoh 30 hari sebagaimana yang dikehendaki SSM mengikut Seksyen 68(1) Akta Syarikat 2016.

Pada 20 Jun lepas, Suboh dipanggil sebagai saksi pendakwaan untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa menyelewengkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Semasa perbicaraan kes itu juga pada 9 Ogos lepas, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Rosli Husain memberitahu mahkamah tinggi beliau gagal mendapatkan minit mesyuarat asal SRC bagi tahun 2013 kerana Nik Faisal melarikan diri ke luar negara.

Loading...